Saturday, February 12, 2011

PENJAJAHAN DAN KEWUJUDAN MASYARAKAT MAJMUK

PENJAJAHAN DAN KEWUJUDAN MASYARAKAT MAJMUK

  • Masyarakat Majmuk

Masyarakat majmuk sangat sinonim dengan Malaysia sebagai sebuah negara yang bercirikan pelbagai kaum serta identiti. Terdapat lebih 80 kaum di seluruh Malaysia. Daripada keseluruhan bangsa tersebut, terdapat tiga bangsa yang paling utama iaitu Melayu, India dan Cina. Menurut Kamus Dewan, konsep masyarakat membawa maksud kumpulan manusia yang menetap bersama-sama disuatu tempat dengan mengikut aturan dan cara tertentu dan masyarakat ini pula terdiri daripada beberapa kaum atau bangsa. Oleh itu, gabungan kedua-dua istilah masyarakat majmuk membawa maksud `satu kumpulan manusia yang terdiri daripada pelbagai rumpun bangsa telah membentuk satu kesatuaan, khususnya dalam aspek politik, sosial dan ekonomi di sesuatu tempat bagi membentuk satu kumpulan yang bersatu padu’.Manakala, menurut pendapat Furnivall, beliau mengatakan bahawa masyarakat majmuk muncul akibat daripada dasar-dasar penjajah yang menggalakkan penghijrahan penduduk mengikut keperluan ekonomi mereka yang telah mengakibatkan wujudnya kelompok-kelompok yang pelbagai ragam dalam satu unit politik. Kelompok-kelompok ini bercampuran tetapi mereka tidak bergantung antara kaum lain dan amat berpegang kuat kepada agama, bahasa, budaya, idea-idea dan cara hidup yang tersendiri.Dalam memahami intipati masyarakat majmuk yang menumpukan semenanjung Malaysia sahaja, perkara yang akan dibincangkan pertamanya ialah sejarah yang mewujudkan masyarakat majmuk. Kehadiran pelbagai kaum pada asasnya telah bermula semasa era kegemilangan Melaka lagi melalui proses perdagangan yang dijalankan. Walau bagaimanapun kehadiran mereka ini tidak dapat digerak menyusuri istilah masyarakat majmuk. Penggunaan istilah masyarakat majmuk itu sendiri hanya bermula pada penghujung abad ke-18 dengan adanya peranan pihak British.Malaysia yang dikenali Tanah Melayu pada suatu ketika dulu pernah dijajah oleh tiga negara yang berbeza iaitu Portugis, Belanda,British dan Jepun. Di sini kita akan

mengupas kewujudan masyarakat majmuk di Malaysia melalui penjajahan kuasa asing

  • Penjajahan di Tanah Melayu

KEDATANGAN DAN SERANGAN PORTUGIS KE MELAKA

Portugis telah datang ke Melaka pada 11 September 1509 dengan lima buah kapal yang diketuai oleh Diego Lopez De Sequeira semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Akibat sedikit perselisihan faham Sultan telah menahan beberapa pedagang Potugis yang datang berdagang.Demi membebaskan para banduan Alfonso De Alburqaque tiba di Melaka pada Julai 1511 dan menghantar utusan meminta sultan Melaka membebaskan orang Portugis dan membayar gantirugi .Keengganan baginda sultan telah menyebabkan Melaka diserang dengan kehadiran 800 orang Portugis dan 600 orang India.Kehadiran tentera seramai 1400 orang ini telah menambahkan lagi jumlah masyarakat berbilang kaum yang ada pada ketika itu.Pada 24 Ogos 1511 orang Portugis telah berjaya menawan Melaka.

RAMPASAN TAKHTA OLEH BELANDA

Pada tahun 1597 Belanda menyerang Kota Portugis Melaka.Pada tahun 1606 - Johor berpakat dengan Belanda untuk menguasai Melaka. Percubaan selama tiga bulan gagal apabila Portugis mendapat bantuan dari Goa.Pada tahun 1636 kapal Belanda telah memusnahkan kapal Portugis di pelabuhan dan akhirnya Melaka jatuh ke tangan Belanda pada 14 Januari 1641. Gabenor Portugis, Manuel de Souza Couthinho telah menyerahkan kuasa pemerintahan kepada Kapten Minne Williemson Kaartokoe.

PENDUDUKAN BRITISH DI TANAH MELAYU SEBELUM PERANG DUNIA KEDUA

Perubahan ketara berlaku semasa penjajahan British.Pendudukan British di Tanah Melayu bermula dari pergolakkan politik dan perebutan takhta yang berlaku di Kedah dan Johor yang telah dijadikan kesempatan oleh British untuk menakluk Pulau Pinang dan Singapura. Manakala melalui perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824, secara langsung Melaka telah diserahkan oleh Belanda kepada pihak British.

Ketiga-tiga wilayah ini telah disatukan di bawah satu pentadbiran yang dikenali sebagai negeri-negeri Selat. Penjajahan British di Tanah Melayu bertujuan memenuhi keperluan permintaan bahan mentah untuk industri barat, mencari pasaran baru bagi barangan siap dan mencari peluang baru untuk pelaburan di barat. Hasilnya Tanah Melayu membangun dengan pelbagai infrastruktur seperti jalan kereta api yang menghubungkan bandar dengan pelabuhan, perladangan dan pembangunan bandar-bandar kecil.Tanah Melayu yang pada ketika itu kekurangan pekerja di sektor perladangan dan perlombongan telah menyebabkan pihak British mulai membawa masuk beramai-ramai buruh dari China dan India untuk menampung kekurangan pekerja. Penambahan penduduk dan peningkatan kegiatan ekonomi telah menyebabkan pertumbuhan bandar,jalan-jalan, rel-rel keretapi dan pembahagian kelompok kaum mengikut sektor ekonomi. Keadaan ini telah menyebabkan jurang perbezaan antara kaum, pembangunan bandar dan luar bandar bertambah besar.Dasar Pecah dan Perintah (Divide and Rule) melahirkan masyarakat majmuk yang mempunyai ciri-ciri tertentu. Dari sudut demografi, masyarakat Cina diberi peranan untuk mengusahakan lombong-lombong bijih manakala masyarakat India bekerja di ladang-ladang getah.Masyarakan Melayu pula ditempatkan di kawasan kampung dan bekerja sebagai petani. Penghijrahan orang Cina telah berlaku sebelum kedatangan British lagi, namun selepas kehadiran British, dasar penghijrahan adalah lebih liberal serta diwujudkan jaminan keselamatan undang-undang yang seterusnya keadaan ini menggalakkan lebih banyak migrasi masuk. Sementara kemasukan orang India pula berlaku dengan pesat di penghujung abad ke-19 dimana berlakunya perkembangan perladangan seperti getah dan kopi. Sebagaimana migrasi Cina, mereka juga dilindungi oleh British.

PENDUDUKAN JEPUN DI TANAH MELAYU

Pendudukan Jepun di Tanah Melayu juga turut memberi Kesan serba sedikit terhadap pembentukan masyarakat Malaysia yang sedia wujud pada hari ini. Pentadbiran Jepun Di Tanah Melayu dipanggil sebagai Malai Baru oleh Jepun dan ianya diletakkan di bawah kuasa pentadbiran tentera Jepun yang berpusat di Singapura. Sementara itu di Singapura yang dikenali sebagai Snoyan telah diasingkan daripada pentadbiran di Tanah Melayu.Dari segi pentadbiran , satu wilayah pentadbiran dibentuk yang terdiri daripada Pulau Pinang , Melaka , Perak , Pahang , Selangor , dan Negeri Sembilan. Sementara itu negeri Perlis , Kedah , kelantan , dan Terengganu diletakkan di bawah pemerintahan Siam pada tahun 1945 , dengan tujuan membalas jasa Siam. enjajahan Jepun mewujudkan kesan sosial berkaitan dengan hubungan antara kaum hubungan kaum dan juga keadaan masyarakat dari segi pendidikan serta pentadbiran. Semasa Perang Dunia ke-2, terdapat 2 bentuk hubungan kaum iaitu hubungan kerjasama antara kaum menentang penjajah Jepun (MPAJA)dan juga hubungan tegang antara etnik Melayu dan Cina ekoran dasar pilih kasih / diskriminasi terhadap etnik Cina .Penindasan Jepun terhadap orang-orang China telah menyebabkan mereka membuka kawasan-kawasan baru yang dikatakan sebagai permulaan masalah setinggan di Tanah Melayu.Ini membawa kepada pertembungan dengan orang-orang melayu yang tinggal di kampung-kampung tradisi. Pertembungan budaya ini telah membawa kepada perkahwinan kacukan di antara orang melayu dan China telah melahirkan generasi masyarakat Baba dan Nyonya yang boleh kita lihat banyaknya di negeri Melaka pada hari ini.Penguasaan Jepun di Tanah Melayu menyekat kemasukan migrasi terutamanya dari China disebabkan peperangan antara China dan Jepun. Pada 1947 sehingga 1953, telah berlaku pengaliran keluar orang Cina secara beramai-ramai. Sementara itu migrasi dari India masih lagi berlaku sungguhpun dalam kadar yang rendah.Pada tahun 1945 Jepun telah meletakkan senjata dan berundur dari Tanah Melayu.

PENDUDUKAN BRITISH DI TANAH MELAYU SELEPAS JEPUN

Selepas Jepun berundur dari Tanah Melayu pada tahun 1945,British kembali memerintah. Kedatangan semula Inggeris membawa usaha-usaha perpaduan melalui pembentukan Jawatankuasa Perhubungan Kaum.Namun begitu sokongan rakyat terhadap mereka luput sama sekali kerana merasakan mereka lemah dan tidak mampu menentang Jepun selama 5 tahun penaklukan Jepun di Tanah Melayu.Perkara ini membawa kepada tuntutan kemerdekaan oleh penduduk Tanah Melayu berbilang kaum daripada pihak British.Pihak British telah memberikan syarat yang paling besar di mana untuk mencapai kemerdekaan Tanah Melayu, orang Melayu harus menerima dan bekerjasama dengan masyarakat Cina, India dan masyarakat lain sebagai warganegara.Pada mulanya agak sukar bagi masyarakat Melayu menerima pemberian kerakyatan kepada kaum Cina dan India.Namun dengan berlakunya keganasan Parti Komunis Malaya yang berleluasa yang menyebabkan hubungan etnik tegang di mana etnik Cina yang menyokong dan menyertai PKM bertindak ganas terhadap etnik Melayu sebagai kaedah balas dendam semasa pemerintahan Jepun dahulu.Berpunca daripada keadaan ini,kerajaan teleh mengistiharkan darurat pada tahun 1948 . Semasa darurat, hubungan etnik bertambah baik mewujudkan kerjasama menentang komunis Keganasan PKM menyebabkan

British menawarkan kerakyatan secara automatik kepada penduduk imigran Tanah Melayu yang akhirnya terpaksa dipersetujui oleh orang melayu sebagai salah satu kaedah membanteras keganasan PKM. Pada tahun 1957 , British telah memerdekakan Tanah Melayu atas usaha Rombongan kemerdekaan 1956 yang diketuai oleh Tuanku Abdul Rahman. Darurat hanya dibubarkan pada tahun 1960.Kesan dari penjajahan British telah memberi impak positif dan negatif kepada pembangunan dan keamanan negara yang dapat dinilai perkembangannya dari masa ke semasa hingga ke hari ini.

Kesan Penjajahan kuasa asing dalam pembentukan masyarakan majmuk di Malaysia.

Dalam melihat perkembangan masyarakat majmuk di Malaysia juga dapat dirumuskan dengan melihat kepada tiga tempoh yang berbeza. Pertamanya, zaman penjajahan British. Didapati ketiga-tiga kaum langsung tidak berinteraksi. Boleh ditegaskan Tanah Melayu milik orang Melayu, ekonomi kormesial pula milik orang Cina dan India sementara politik milik British hinggakan orang Melayu ketinggalan. Sebenarnya terdapat beberapa faktor yang menjadikan orang Melayu tidak terlibat dengan ekonomi kormesial. Salah satu sebabnya adalah British sendiri dengan dasarnya yang menekan penduduk asal serta ‘Dasar Pecah Perintah’ yang dijalankan British sewaktu penjajahanya.Tempoh yang kedua pula merujuk pada era menuju kemerdekaan. Dalam hal ini dapat dilihat terdapat hubungan antara kaum. Melayu dengan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Cina dengan Persatuan Cina Malaya (MCA) dan India dengan Kongres India Se-Malaya (MIC) membentuk parti politik yang berteraskan kaum masing-masing namun berada di bawah satu payung iaitu Parti Perikatan. Hasil daripada kerjasama antara kaum ini membolehkan British bersetuju memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 1957. Sebelum kemerdekaan, peristiwa darurat telah berlaku selepas tempoh penjajahan Jepun pada 1948 sehingga 1960 yang melibatkan Parti Komunis Malaya. Dalam tempoh ini juga

hubungan antara orang Melayu dengan Cina kembali tergugat. Peringkat yang terakhir adalah zaman selepas kemerdekaan yang merujuk zaman selepas 1969. Masih lagi terdapat jurang dalam pelbagai bentuk yang bukan sahaja dari segi ekonomi. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan telah merangka beberapa strategi yang boleh mewujudkan keadaan yang aman damai yang menepati makna sebenar masyarakat majmuk. Namun ianya masih lagi tidak mencapai matlamat perpaduan. Masing-masing berusaha mengekalkan identiti sendiri dan enggan menerima asimilasi dari budaya lain. Sekitar tahun 1965, penggunaan “

Malaysian Malaysia” telah mula digunakan namun ia tidak begitu diterima pakai. Kini, ia menjadi salah satu matlamat kerajaan dalam memastikan kesepaduan masyarakat iaitu dikenali sebagai Bangsa Malaysia.

.

Kesimpulan.

Secara keseluruhannya, istilah masyarakat majmuk ini terhasil kesan daripada penjajahan British. Bagi memastikan keadaan negara yang aman dan damai, perkara yang paling penting adalah aspek ekonomi kerana ia menjadi isu paling sensitif. Namun dalam hal ini, sikap masyarakat sendiri yang paling utama, perlu memahami kedudukan masing-masing. Perlu ditegaskan bagi memastikan kesepaduan dan kestabilan dalam hubungan sesama masyarakat, penelitian sejarah salah satu langkah yang penting. Malahan boleh menjadikan apa yang berlaku di luar negara sebagai satu ukuran erti sebenar perpaduan. Sejarah perlu dijadikan satu rangka tindakan untuk membina Negara-Bangsa. Kepentingan Sejarah sesuatu bangsa khususnya yang berteraskan kepada sejarah bangsa pribumi perlu diutamakan dan diberi status dan kedudukan yang utama bagi memantapkan lagi asas pembinaan Negara-Bangsa. Identiti Negara-Bangsa adalah sinonim yang saling mengukuhkan identiti, nasionaliti dan nasionalisma serta unsur-unsur patriotisma Negara-Bangsa.

No comments:

Post a Comment