Saturday, February 12, 2011

MOTIVASI

1.1 DEFINISI MOTIVASI

Perkataan MOTIVASI adalah berasal daripada perkataan Bahasa Inggeris - "MOTIVATION". Perkataan asalnya ialah "MOTIVE" yang juga telah dipinjam oleh Bahasa Melayu / Bahasa Malaysia kepada MOTIF, yakni bermaksud TUJUAN. Di dalam surat khabar, kerap pemberita menulis ayat "motif pembunuhan". Perkataan motif di sini boleh kita fahami sebagai sebab atau tujuan yang mendorong sesuatu pembunuhan itu dilakukan.

Jadi, ringkasnya, oleh kerana perkataan motivasi adalah bermaksud sebab, tujuan atau pendorong, maka tujuan seseorang itulah sebenarnya yang menjadi penggerak utama baginya berusaha keras mencapai atau mendapat apa juga yang diinginkannya sama ada secara negatif atau positif. Oleh itu kita boleh definisikan bahawa:
Motivasi adalah sesuatu yang menggerak dan mengarah tuju seseorang dalam tindakan-tindakannya sama ada secara negatif atau positif.

Motivasi ialah kesedaran seseorang untuk meningkatkan usaha ke arah mencapai sesuatu matlamat dengan syarat usaha tersebut dapat memenuhi keperluan individu itu sendiri (Robbins,1998). Motivasi mempunyai tiga unsur yang penting iaitu usaha, matlamat dan keperluan dan seseorang yang mempunyai motivasi akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat. Motivasi juga didefinisikan sebagai penggerak kepada kemahuan-kemahuan dan keinginan untuk berjaya atau untuk mencapai sesuatu rancangan untuk mengelakkan diri daripada kegagalan (Saedah, Zainon dan Tunku Mohani,1996).

Motivasi ialah aras insentif yang ada pada seseorang dalam usaha untuk

mencapai matlamat akademik. Marshall (1987) pula mentakrifkan motivasi untuk belajar

sebagai nilai, kepentingan dan faedah yang diperoleh dari tugasan akademik tidak kira

sama ada tugasan itu menarik atau pun tidak.

1.2 JENIS-JENIS MOTIVASI

Secara amnya, terdapat dua jenis teknik motivasi yang boleh digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam bilik darjah. Jenis-jenis Motivasi Motivasi berpunca dari dalam ataupun dari luar diri seseorang. Dalam bidang pelajaran, guru perlu tahu sama ada pelajarnya cenderung ke arah motivasi yang timbul dari dalam ataupun dari luar diri mereka. Ini perlu supaya guru dapat bertindak dengan sewajarnya bagi memberikan rangsangan kepada pelajarnya supaya berusaha. Motivasi yang berpunca dari dalam diri iaitu yang didorong oleh faktor kepuasan dan ingin tahu disebut motivasi intrinsik. Motivasi yang berpunca dari luar iaitu apabila kita buat sesuatu bagi mendapatkan ganjaran adalah ‘motivasi ekstrinsik’.


1.2.1 Motivasi Intrinsik

Motivasi intrinsik diwujudkan secara semula jadi daripada rangsangan dalaman. Ia terdiri daripada dorongan dan minat individu bagi melakukan sesuatu aktiviti tanpa mengharap ataupun meinta ganjaran. Sebagaimana yang sudah dibincangkan, Bruner (1966) mengaitkan motivasi intrinsik ini dengan naluri ingin tahu dan dorongan mencapai kecekapan bagi murid yang baru masuk sekolah. Bagaimanapun, bukan semua motivasi intrinsik diwujudkan secara semula jadi. Terdapat juga motivasi intrinsik dibentuk kepada pembelajaran dan pengalaman yang membawa kepuasan. Contohnya, tabiat membaca buku cerita dan bermain alat muzik adalah gerakan motivasi intrinsik yang dibentuk daripada pembelajaran dan pengalamannya. Harter (1981) mengenal pasti lima dimensi kecenderungan motivasi intrinsik dalam bidang pembelajaran. Dimensi-dimensi ini adalah cabaran, insentif bekerja bagi memuaskan minat dan sifat ingin tahu, percubaan penguasaan yang bebas, penilaian yang bebas berkenaan apa yang hendak dilakukan di dalam kelas dan kriteria dalaman untuk kejayaan. Pelajar yang lebih cenderung ke arah motivasi intrinsik sukakan pekerjaan yang mencabar. Mereka mempunyai insentif yang lebih untuk bekerja bagi memanfaatkan kepuasan diri sendiri daripada mengambil hati guru bagi mendapat gred yang baik. Mereka lebih suka mencuba mengatasi masalah dengan sendiri daripada bergantung pada bantuan ataupun bimbingan guru. Mereka juga menerapkan suatu sistem penguasaan matlamat dan taraf penilaian yang membolehkan mereka membuat penilaian bebas berkenaan kejayaan ataupun kegagalan mereka di dalam kelas tanpa bergantung pada guru bagi mendapat maklumat ataupun penilaian. Menurut Deci (1975), motivasi intrinsik dapat diterangkan sebagai suatu keadaan psikologi yang diakibatkan apabila individu menganggap diri mereka berkebolehan dan dapat menentukan sesuatu dengan sendiri. Kedua-dua persepsi diri ini mengesahkan perihal kawalan. Contohnya dalam satu kes, satu keadaan adalah berkenaan kebolehan mengawal manakal satu keadaan lagi berkenaan mendapat peluang hendak mengawal. Seseorang itu mengalami motivasi intrinsik yang tinggi sekiranya dapat melakukan sesuatu yang digemari seperti memandu kereta, melawat tempat-tempat yang disukai, memilih tempat penginapan dan memilih makanan yang diidamkan. Sekiranya dia diberikan hadiah seperti lawatan ke tempat-tempat yang ditentu-kan oleh badan penganjur, tempat penginapan dan jenis makanan juga ditentukan oleh pihak itu, dia tidak mendapat peluang hendak menentukan segala-galanya sendiri. Oleh itu, motivasi intrinsiknya menjadi terlalu rendah. Menurut Weisz dan Cameron (1985), individu yang mempunyai persepsi yang mereka berkebolehan dalam sesuatu keadaan juga mempunyai persepsi dapat mengawal situasi itu. Sekiranya peluang hendak bertindak dengan cara yang ditentukan oleh diri sendiri diberikan individu yang mempunyai persepsi kebolehan diri yang rendah, dia tidak dapat menggunakan peluang itu bagi memberikan manfaat kepada dirinya (Locke, Federick, Lee dan Bobko, 1989: Spaulding, 1992). Guru yang mahu meningkatkan motivasi intrinsik pelajar dalam bidang akademik perlu mewujudkan suasana akademik yang memberi peluang kepada pelajar mengawal. Guru juga perlu menentukan pelajar itu dapat melakukannya dengan cemerlang dalam keadaan itu. Walau bagaimanapun, perlu ditentukan terlebih dahulu yang pelajar itu mempunyai persepsi yang diri mereka berkebolehan. Sekiranya mereka tidak mempunyai persepsi seperti itu, peluang-peluang yang diberikan bagi mengawal tidak akan digunakan dengan sempurna.

Faktor-faktor yang Mempengaruhi Motivasi Intrinsik

i. Persepsi kebolehan Seseorang itu membentuk persepsi kebolehan daripada penilaian berkenaan kebolehannya oleh orang lain.

ii. Persepsi kebolehan daripada penilaian berkenaan kebolehannya yang sebenar.

Semakin tinggi pencapaian seseorang pelajar, semakin besar kemungkinan pelajar itu menilai dirinya sebagai berkebolehan. Kebolehan yang dipersepsi ini mempengaruhi bagaimana pelajar itu rasa berkenaan dirinya. Pelajar yang mempunyai persepsi kebolehan yang tinggi kemungkinan besar mempunyai keyakinan diri sendiri. Pelajar ini sukakan cabaran, mempunyai sifat ingin tahu dan bertindak bebas bagi mencapai kemahiran. Persepsi kawalan Menurut Cole dan Chan (1987), pendapat pelajar berkenaan punca kawalan iaitu sebab-sebab kejayaan dan kegagalan adalah persepsi kawalan. Kajian-kajian yang dijalankan oleh Harter (1981), Nicholls (1984) dan Weiner (1984) menunjukkan, pelajar menyatakan kejayaan dan kegagalan mereka di sekolah disebabkan oleh punca-punca dalaman yang dapat dikawal seperti usaha sendiri dan berupaya berusaha dalam keadaan sebenar. Perasaan dalam pembelajaran Perasaan merangkumi sikap, nilai, minat dan pilihan yang ditunjukkan oleh individu pada sesuatu benda, perkara ataupun orang.

1.2.2 Motivasi ekstrinsik

Motivasi ekstrinsik diwujudkan daripada rangsangan luaran dengan tujuan menggerakkan individu supaya melakukan sesuatu aktiviti yang membawa faedah kepadanya. Motivasi ekstrinsik ini dapat dirangsang dalam bentuk-bentuk seperti pujian, insentif, hadiah, gred dan membentuk suasana dan iklim persekitaran yang kondusif bagi mendorongkan pelajar belajar. Contohnya, pujian yang diberikan oleh guru kepada seseorang pelajar kerana kerjanya yang baik akan menyebabkan daya usaha pelajar itu meningkat. Kajian itu mengukuhkan respons pertama iaitu perlaksanaan kerja. Suatu stimulus atau 'peristiwa yang diakibatkan' memperkuatkan kemungkinan respons itu berlaku lagi dipanggil peneguhan. Peneguhan positif ialah stimulus atau peristiwa yang menyebabkan kemajuan dalam pembelajaran ataupun perubahan kelakuan positif. Peneguhan ini lazimnya menggembirakan dan dipanggil sebagai ganjaran. Peneguhan yang tidak menyebabkan kemajuan dalam pembelajaran adalah peneguhan negatif. Peneguhan negatif adalah stimulus atau peristiwa yang sekiranya dielakkan selepas sesuatu respons berlaku akan mengakibatkan peningkatan respons itu. Umpamanya, guru dapat mengelakkan sesuatu yang menghalang pelajar daripada memberikan perhatian dalam kelas supaya pelajar itu dapat menumpukan perhatian pada peneguhan utama.

Jenis peneguhan dalam motivasi ekstrinsik

i. Peneguhan utama

Peneguhan utama terdiri daripada benda ataupun peristiwa yang memberi kesan langsung kepada kelakuan seseorang dan tidak bergantung pada pembelajaran bagi kuasa peneguhan. Contohnya, gula-gula dan mainan. Sekiranya kanak-kanak diberikan gula-gula apabila dia berkelakuan baik akan terus berkelakuan baik kerana mereka tahu mereka akan mendapat ganjaran itu. Peneguhan utama ini diberikan kepada pelajar kerana mereka belum tahu cara bertindak apabila mendapat peneguhan sekunder.

ii. Peneguhan sekunder

Peneguhan sekunder ialah stimulus atau peristiwa yang memperkukuhkan sesuatu respons melalui pembelajaran. Peneguhan ini selalunya bersifat linguistik ataupun sosial. Contohnya pujian daripada guru, perhatian guru, markah, senyuman daripada guru ataupun apa-apa isyarat pengiktirafan daripada guru. Peneguhan ini menjadi peneguhan sekunder selepas berlakunya pembelajaran beberapa lama. Menurut Walberg (1986), kedua-dua jenis peneguhan ini penting bagi mempertingkatkan kualiti dan kuantiti pembelajaran pelajar.

Di dalam kelas, guru perlu tahu jenis peneguhan yang hendak diberikan dan sekerap mana ia perlu diberikan. Ada peneguhan yang dapat diberikan dengan kerap, contohnya pujian sokongan ataupun pujukan. Menurut Kazdin(1984), peneguhan lebih berkesan sekiranya diberikan dengan kerap pada peringkat pembelajaran baru. Oleh itu, semasa pelajar mula mempelajari sesuatu tugasan yang baru, mereka sebaik-baiknya diberikan pujian dan sokongan dengan kerap. Hukuman ataupun deraan adalah suatu bentuk peneguhan negatif dan ia sebaik-baiknya tidak diberikan. Hukuman lazimnya digunakan oleh guru bagi menghapuskan kelakuan pelajar yang tidak baik. Hukuman ini mungkin sebagai kerja tambahan, kelas tahanan, deraan fizikal dan pelbagai jenis hukuman lagi. Guru juga menggunakan sindiran, kemarahan dan kritikan bagi mengawal kelakuan pelajar. Hampir semua jenis hukuman memberikan kesan buruk kepada pelajar. Oleh itu, peneguhan jenis ini lebih baik dielakkan. Hukuman boleh diberikan sekiranya jenis hukuman itu dibenarkan oleh pihak sekolah, Jabatan Pendidikan ataupun Kementerian Pendidikan.

1.2.3 Perbezaan antara Kedua-Dua Jenis Motivasi

Pada dasarnya tidak mungkin kita dapat membezakan kedua-dua jenis motivasi ini hanya dengan melihat kepada tingkahlaku. Sebaliknya kita boleh memahaminya dengan mencuba melihat dari aspek sebab mengapa seseorang itu melakukan perbuatan itu, yang dikenali sebagai lokas sebab-musabab (locus of causality). Jikalau seseorang itu sentiasa berada di perpustakaan kerana minatnya yang suka membaca, maka dikatakan dia mempunyai lokas sebab-musabab dalaman, iaitu motivasi dalaman. Sebaliknya jikalau dia berada di perpustakaan kerana satu-satunya cara dia boleh bersama kawannya, maka kita boleh buat kesimpulan bahawa faktor luaran yang mempengaruhinya berada di perpustakaan dan ini dikenali sebagai lokas sebab-musabab luaran, atau motivasi ekstrinsik.

No comments:

Post a Comment