Guru dan Pembentukan Modal Insan
Dalam usaha menyediakan tenaga kerja yang berkualiti untuk mencapai kecemerlangan negara yang berterusan, Perdana Menteri Malaysia kelima telah membangkitkan mengenai Konsep Modal Insan dalam pembentangan Rancangan Malaysia KE 9 (RMK 9). Hasrat kerajaan adalah tinggi dalam melahirkan generasi pelapis yang berkualiti dalam menerajui negara ke arah kemajuan yang bakal dicapai terutamanya dalam menghadapi Wawasan 2020.
Apabila harapan kerajaan ini difokuskan kepada generasi pelapis, sudah tentu mereka ini adalah golongan yang sedang berada di universiti dan sekolah pada masa sekarang. Merekalah yang bakal menerajui negara dalam segenap lapangan. Merekalah yang akan jadi pemimpin, pengurus, penggerak pembangunan negara seterusnya merekalah yang akan menjadi golongan yang akan berusaha memajukan negara di samping menikmati apa juga kejayaan yang telah diusahakan oleh generasi terdahulu.
Dalam penulisan ini saya tertarik untuk membincangkan peranan guru secara langsung dalam membentuk generasi pewaris tampuk kepimpinan negara ini berteraskan konsep modal insan yang digagaskan oleh kerajaan. Seperti mana yang kita telah maklum, adalah menjadi tanggungjawab guru dalam menyediakan dan mempersiapkan generasi pelapis ini dalam era revolusi informasi abad ke 21. Cabaran-cabaran yang dihadapi oleh guru dalam pembentukan “knowledge worker” dalam era kepesatan teknologi ini sangat luas sehingga tak terdaya untuk dikawal oleh guru-guru, walaupun dalam sekolah.
Jika kita lihat fenomena yang berlaku dalam masyarakat Malaysia kini, guru-guru sering dipersalahkan jika anak-anak tidak mencapai kecemerlangan. Ini bermaksud masyarakat telah memandang rendah terhadap profesionalisme perguruan di Malaysia sekarang, berbanding pada zaman dahulu. Orang ramai semakin kerap mempersoalkan kualiti pendidikan di sekolah, seolah-olah tidak lagi menaruh keyakinan kepada kewibawaan sekolah dalam hal ehwal mendidik, terutamanya apabila mendapati kelakuan murid lepasan sekolah tidak seperti yang diharapkan oleh masyarakat dan negara. Kecemerlangan pada sijil peperiksaan mereka secara realitinya tidak memperlihatkan kematangan berfikir, kepetahan berkomunikasi, ketokohan sebagai pemimpin, kemurnian tingkah laku, keupayaan mencipta dan menyumbang kepada kemajuan negara-bangsa dan global.
Jika kita kaji, banyak aspek ditekankan oleh pihak pentadbiran sekolah dalam rangka melahirkan pelajar yang berkualiti dari sudut akademik terutamanya aspek pembangunan fizikal di sekolah. Pihak pentadbiran menuntut bangunan yang selesa, komputer yang cukup, makmal komputer yang lengkap, makmal Sains yang banyak sudah cukup untuk membuktikan komitmen pihak sekolah untuk melahirkan insan yang cemerlang di bidang pelajaran. Tetapi, pada masa yang sama mereka mengabaikan mengenai aspek pembentukan akhlak pelajar di sekolah menyebabkan selepas sekolah bukan Universiti yang dijejaki oleh para peljar ini, tetapi Penjara dan Pusat Serenti yang menanti.
Walaupun dalam usaha melahirkan sebuah negara yang maju, kebanyakan perbincangan lebih dominan memperdebatkan hal-hal fizikal, namun aspek pembentukan akhlak amat perlu dititikberatkan terutamanya bermula di peringkat persekolahan. Mengambil contoh fenomena terkini yang berlaku dalam sistem pendidikan sebuah negara maju iaitu Amerika Syarikat menunjukkan bilangan murid-murid yang belajar di rumah “homeschooling” semakin meningkat dari setahun ke setahun sebagai manifestasi ketidakpercayaan ibubapa dan orang awam terhadap kualiti dan prestasi pendidikan yang ditunjukkan oleh sekolah-sekolah awam. Perkara ini berpunca akibat kebimbangan ibubapa terhadap sistem persekolahan yang boleh menjejaskan aspek fizikal, mental dan spritual anak-anak mereka. Tidakkah anda semua terfikir bahawa Malaysia juga akan mengalami kedaaan yang sama apabila mencapai taraf negara maju nanti?
Oleh itu, guru seharusnya memahami akan peranan mereka sepenuhnya dalam menjayakan modal insan ini. Segalanya perlu bermula dari diri guru tersebut. Menjadi seorang guru yang cemerlang bukan sahaja dinilai dari aspek luaran semata-mata, tetapi yang lebih penting adalah keperkasaan dari aspek profesionalismenya, prinsipnya, keutuhan peribadinya, kecekapan dan ketrampilan mental dan intelektualnya, kestabilan emosi dan spiritualnya seta kebijaksanaan kepimpinannya. Usaha-usaha ini penting dalam menyiapkan diri mereka sebagai role-model utama terhadap generasi bakal peneraju kemajuan negara suatu hari nanti.
mohon share catatan.TQ
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDelete