Friday, October 14, 2011

Membina Item Ujian


Membina Item Ujian

Terdapat  lima langkah am dalam pembinaan item ujian iaitu yang pertama menyediakan JSU, menulis item ujian, menyemak item ujian, menilai item ujian dan membuat kajian rintis terhadap keseluruhan item.
Keseluruhan langkah am penyediaan item ujian ini dapat disimpulkan seperti rajah berikut ;

rajah  : langkah penyediaan item ujian

Langkah awal dalam pembinaan item ujian ialah menyediakan JSU seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, iaitu mengkaji sukatan pelajaran, menganalisis objektif pengajaran, menentukan jenis soalan dan menentukan bilangan soalan. Tujuan utama penyediaan JSU ialah supaya item-item ujian yang dibina itu mewakili keseluruhan kandungan pelajaran mengikut domain dan peringkat objektif pengajaran yang ditentukan sebelum pengajaran. Sebaik sahaja siap menyediakan JSU, kita telah bersedia untuk membina dan menulisitem-item ujian. Selepas semua item ujian siap ditulis, kita perlu menyemak semua item tersebut. Semakan ini perlu dibuat untuk memastikan perkara-perkara seperti arahan menjawab yang kurang tepat, bahasa soalan yang sukar difahami dan soalan yang tidak mengandungi klue ini tidak terjadi. Selepas semua item ujian disemak oleh penulisnya, item-item ini perlu disemak dan dinilai. Semakan dan penilaian ini perlu bagi memastikan perkara-perkara seperti arahan menjawab dalam bahasa yang digunakan dalam soalan adalah mudah difahami oleh murid, soalan dan kehendak soalan adalaj jelas dan soalan mengandungi maklumat yang cukup untuk murid menjawab soalan. Soalan-soalan yang dibina adalah mencakupi dan seimbang untuk mengukur kandungan dan objektif pengajaran yang ditetapkan.

Selepas semua item ujian disemak dan dinilai oleh pakar mata pelajaran, sebaiknya, kajian rintis dibuat terhadap keseluhan item/ kertas ujian. Kajian rintis di sini bermaksud kajian awal tentang kesesuaian item-tem kepada murid yang setara dari segi keupayaan dengan murid sasaran.


Jadual Spesifikasi Ujian


Jadual Spesifikasi Ujian


Penggubalan sesuatu kertas ujian perlu mengikut spesifikasi ujian  yang ditetapkan. Banyak pertimbangan yang harus  dibuat semasa menyediakan soalan ujian. Ujian sebaiknya mewakili keseluruhan sukatan pelajaran, yang mungkin merangkumi komponen pengetahuan, kemahiran, dan sikap yang telah ditetapkan. Pertimbangan ini dibuat bagi memastikan para pelajar diuji dengan menggunakan soalan yang relevan dengan sukatan pelajaran atau objektif pengajaran yang telah disampaikan di dalam kelas. Penggubalan kertas ujian perlu mengikuti pelbagai proses, termasuk penyediaan Jadual Spesifikasi Ujian (JSU).
   
JSU adalah sebuah jadual yang menggambarkan ciri sesuatu ujian dari segi kandungan iaitu konstruk yang ditaksir, pemberatan setiap konstruk, konteks, san pemberatan taburan aras kesukaran. Tujuan JSU disediakan adalah untuk menghasilkan set soalan yang lebih berkualiti berbanding soalan yang hanya disediakan secara spontan dan tidak mengikuti aras ilmu. Selain itu, penyediaan JSU dapat membantu menghasilkan soalan yang mempunyai kesahan dan keutuhan.
           

       Langkah Pembinaan JSU


Terdapat empat langkah yang perlu dijadikan panduan semasa membina Jadual Spesifikasi Ujian ini. Langkah-langkah tersebut dijelaskan dalam rajah berikut:



Rajah  : langkah pembinaan JSU


Langkah yang pertama adalah mengkaji sukatan pelajaran untuk memperoleh maklumat yang menyeluruh tentang kurikulum yang telah dibina. Kandungan sukatan pelajaran perlu dianalisis untuk menentukan kepentingan tiap-tiap tajik kandungannya. Antara aspek yang dikaji ialah skop dan kedalaman pengajaran bagi sesuatu tajuk. Pendekatan yang telah diambil oleh guru dalam pengajaran sesuatu tajuk dan kepentingan bandingan diantara satu tajuk dengan tajuk-tajuk lain juga diamabil kira.  Sukatan pelajaran perlu untuk dianalisis untuk melihat sejauh mana kompleksiti sesuatu tajuk dan masa pengajaran yang diperuntukkan masabagi sesuatu tajuk bermain tersebut.

Langkah yang kedua adalah menganalisis objektif pengajaran. Objektif pengajaran ini dianalisis untuk menentukaan pelajaran, pengetahuan dan  kemahiran yang perlu diuji. Analisis objektif pengajaran ini juga untuk menentukan tahap kesukaran mana yang perlu diuji. Lazimnya aras pengetahuan dan kemahiran diasaskan kepada pembahagian yang dibuat oleh Bloom dan rakan-rakannya dalam kajian mereka. Maklumat-maklumat di atas adalah penting kepada penggubal kertas kerana ujian dan pembina soalan ujian untuk menentukan jenis dan bilangan soalan ujian yang perlu dibina. Berdasarkan penganalisaan inilah JSU dibina. Lazimnya JSU mengandungi tiga paksi utama iaitu paksi kandungan yang biasanya mengandungi tajuk atau subtajuk, paksi kedua adalah paksi kemahiran yang biasanya mengandungi aras kemahiran, dan paksi yang ketiga adalah paksi wajaran yang mengandungi peratus pemberatan setiap tajuk dan bilangan soalan.

Langkah yang ketiga adalah menentukan jenis soalan yang sesuai. Setelah menentukan domain objektif pengajaran dan peringkat objektif pengajaran yang ingin diukur, kita seharusnya dapat menggubal dan membentuk soalan yang sesuai berdasarkan tajuk, peringkat atau aras kemahiran seterusnya membina soalan yang bersesuaian dengan isi pengajaran dan tahap kecedasan murid.

Langkah  yang keempat dalam pembinaan JSU adalah menentukan bilangan soalan. Jumlah soalan harus mencukupi untuk mewakili kandungan pengajaran domain objektif pengajaran dan peringkat objektif pengajaran yang hendak diukur. Jumlah soalan adalah penting kerana ia mempengaruhi kebolehpercayaan dan kesahan sesuatu ujian. Kebolehpercayaan ujian adalah keupayaan sesuatu ujian memberi markah yang sama, sekiranya pelajar menjawab semula ujian tersebut. Kesahan pula bermaksud keupayaan sesuatu soalan mengukur apa yang telah digariskan. Selain memberi perhatian kepada kebolehpercayaan dan kesahan ujian, penentuan jumlah soalan juga perlu mengambil kira masa ujian, jenis soalan, dan kesukaran ujian, yang bergantung pada objektif pengajaran, panjang soalan, kemampuan bahasa murid dan lain-lain.


       Kepentingan Jadual Spesifikasi Ujian (JSU)


JSU yang lengkap dibina dengan baik akan sangat membantu penggubal kertas ujian dan pembina item soalan ujian. Antara kepentingan penyediaan JSU adalah seperti dapat membina dan menyediakan soalan ujian secara lebih terangcang dan sistematik. Selain dapat mengelakkan ujian yang dibina secara sembarangan. JSU akan menjamin kesahan dan kebolehpercayaan soalan, ini  berdasarkan kesahan dari segi pensampelan sukatan pelajaran dapat dijamin. Pembinaan JSU juga dapat menstabilkan taraf dan aras kesukaran ujian dari semasa ke semasawalaupun dibina oleh pembina solan yang berbeza. Soalan yang akan dibina juga pastinya mengikuti taburan tajuk secara seimbang dan meliputi keseluruhan pelajaran. Maka dengan itu, perbandingan dapat dibuat diantara satu ujian dengan ujian yang lain.


            Rumusan

Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) merupakan aspek penting dalam penyediaan sesuatu ujian. Ujian yang tidak mempunyai perancangan yang rapi biasanya tidak mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi. Cara  yang baik untuk merancang sesuatu ujian adalah dengan menyediakan JSU yang merupakan rancangan persediaan item atau soalan. Dalam sesebuah penilaian, JSU mempunyai peranan yang penting.

Taksonomi Bloom


       Taksonomi Bloom

Taksonomi ialah kajian tentang prinsip, peraturan, dan amalan dalam pengelasan organisma berdasarkan persamaan dan perbezaan sifat organisma itu. ( kamis Dewan Edisi Keempat, (2005)). Dalam bidang pendidikan, taksonomi ialah satu model yang biasa digunakan untuk menganalisis bidang-bidang pendidikan. Ia berkaitan dengan objektif-objektif pendidikan yang melibatkan bidang-bidang seperti pengetahuan, kesikapan dan psikomotor. Terdapat tiga domain dalam pendidikan iaitu yang pertama domain kognitif yang melibatkan pemikiran pelajar dimana menekankan aspek intelektual seperti pengetahuan, pengertian, dan ketrampilan berfikir.  domain afektif yang melibatkan perkembangan sikap, perasaan ,emosi, nilai pelajar seperti minat, sikap, apresiasi dan cara penyesuaian diri. Dan seterusnya adalah domain psikomotor yang melibatkan perkembangan kemahiran fizikal pelajar.
Domain Kognitif Taksonomi Bloom merupakan satu aras yang digunakan sebagai elemen di dalam pentaksiran. Ia pertama kali diperkenalkan oleh Benjamin S. Bloom pada tahun 1959. Taksonomi di dalam konsep ini bermaksud cabang kognitif iaitu elemen yang melibatkan otak dan pemikiran manusia.


      Domain Taksonomi Bloom

Domain taksonomi Bloom menitik beratkan aspek kognitif atau pengetahuan. Taksonomi ini bercorak hierarki iaitu dari tahap rendah kepada tahap tinggi.
Terdapat enam elemen dalam domain kognitif  Taksonomi Bloom ini. Elemen – elemen tersebut pula telah dibahagikan kepada dua aras pemikiran iaitu pemikiran aras rendah dan pemikiran aras tinggi.  Dalam taksonomi ini, kita akan mengkaji kesemua aspek taksonomi dari terendah hingga lah yang tertinggi. Berikut adalah hierarki Taksonomi Bloom berdasarkan apa yang telah dinyatakan oleh Benjamin S Bloom.



Rajah 1 : hierarki Taksonomi Bloom



       Elemen-elemen dalam Aras Taksonomi Bloom


Elemen pertama adalah aras pengetahuan iaitu aras taksonomi yang paling rendah. Aras ini menguji sejauh mana keupayaan pelajar untuk mengingat kembali fakta atau pengetahuan yang telah dipelajari. Terdapat tiga peringkat dalam aras pengetahuan ini iaitu yang pertama pengetahuan fakta khusus berkaitan dengan istilah berbentuk perkataan atau simbol. Aras yang kedua adalah pengetahuan tentang proses, aliran, pemeringkatan, penjenisan, teknik atau prosedur tertentu dalam menyelesaikan masalah. Dan aras yang ketiga adalan pengetahuan tentang perkara yang bersifat sejagat dan abstrak dalam sesuatu bidang contohnya seperti siapa, apa, di mana, bila dan beri. Ciri-ciri khusus soalan aras pengetahuan ini ialah murid perlu menggunakan proses mental untuk mengingat semula apa yang telah dipelajari seperti istilah, fakta, prinsip dan prosedur bergantung kepada apa yang telah diajar oleh guru di dalam kelas.

Elemen yang kedua ialah aras kefahaman. Aras ini memerlukan keupayaan murid memberi huraian atau makna sesuatu perkara. Aras kefahaman ini terbahagi kepada tiga iaitu yang pertama penterjemahan yang memerlukan murid menterjemah bahasa lain ke bahasa lain tanpa menggubah makna asal. Yang kedua adalah mentafsir atau intepretasi iaitu mentafsir idea dan menerangkan idea atau maksud tersurat dalam ayat sendiri. Manakala yang ketiga adalah ekstrapolasi iaitu membuat inferens tentang apa yang akan berlaku pada masa hadapan berdasarkan maklumat yang diberi.  Ciri-ciri soalan bagi aras kefahaman adalah seperti membuat interpretasi mudah dan menunjukkan bukti kefahaman dan dapat menggunakan ayat dan maklumat untuk diubah kepada bentuk yang baru.
Perkataan yang sering digunakan dalam soalan bagi aras kefahaman ini adalah seperti jelaskan, huraikan, terangkan, mengapakah, bezakan, nyatakan dan kelaskan.

Elemen yang ketiga adalah aras aplikasi. Aras ini menguji keupayaan pelajar menggunakan konsep, teori, prinsip, hukum dan prosedur. Aras ini memerlukan murid benar-benar memahami segala konsep, teori, hukum untuk menyelesaikan masalah. Soalan aras aplikasi biasanya memerlukan penggunaan proses aplikasi mental. Soalan aras ini biasanya melibatkan tiga frasa. Perkataan yang sering digunakan dalam soalan bagi aras ini adalah seperti selesaikan, tunjukkan dan susunkan.

Elemen yang berikutnya adalah aras analisis. Aras ini mengkehendaki murid untuk memecahkan sesuatu perkara kepada unsur-unsur kecil dan memperlihatkan pertalian antara unsur-unsur. Aras ini menekankan keupayaan pelajar mengenalpasti unsur – unsur dan struktur. Jenis-jenis aras analisis adalan yang pertama aras analisis unsur iaitu memerlukan murid menentukan unsur-unsur. Murid juga perlu mencari bukti untuk menyokong unsur yang sedia ada. Aras kedua adalah analisis hubungan iaitu membuat perkaitan bukti dan hipotesis. Dan yang ketiga adalah aras analisis prinsip iaitu murid perlu mengenal pasti prinsip sesuatu organisasi yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu dengan menganalisis tujuan, pandangan dan pendirian. Ciri-ciri soalan aras analisis ialah soalan tersebut menggunakan proses mental analisis dan memerlukan pemahaman perhubungan khasnya dengan memecahkan kepada komponen dan melihat perkaitan antara komponen.

Elemen yang kelima adalah aras sintesis. Aras ini memerlukan keupayaan murid untuk menggabungkan sesuatu struktur yang lebih jelas. Kategori soalan bagi aras sintesis ini penghasilan satu komunikasi unik iaitu pembinaan suatu komunikasi dimana murid cuba menyampaikan suatu idea, perasaan atau pengalaman kepada orang lain. Contohnya kebolehan menulis dengan susunan dan gaya yang menarik untuk menyampaikan buah fikiran. Kategori yang kedua adalah penghasilan suatu rancangan atau pelan operasi dan yang ketiga adalah kategori membina suatu hubungan yang abstrak. Ia melibatkan kebolehan membina atau membangunkan set hubungan yang abstrak seperti teori, hipotesis untuk menghuraikan sesuatu fenomena atau mengklasifikasikan fakta. Contohya kebolehan membuat deduksi berdasarkan maklumat yang diberikan dan dapat membuat suatu teori daripada data atau faktor yang diberi.

Elemen yang terakhir adalah aras penilaian. Aras ini menguji keupayaan murid menilai sesuatu perkara berasaskan kriteria yang perlu diketahui. Murid perlu membuat pertimbangan tentang nilai sesuatu idea hasil kerja penyelesaian bahan, sesuatu idea atau sebagainya. Pertimbangan dibuat dengan piawaian tertentu seperti tepat, berkesan, memuaskan, baik, buruk dan lain-lain. Ciri-ciri khusus aras penilaian ini adalah murid perlu membuat pertimbangan nilai ke atas sesuatu bahan, idea, kaedah bagi sesuatu tujuan. Membuat penelitian dan pertimbangkan sejauh mana sesuatu bahan atau kaedah memenuhi sesuatu kriteria. Pertimbangan dalam penilaian juga dikategorikan kepada dua iaitu pertimbangan dari segi bukti dalaman iaitu menilai ketepatan sesuatu, menggunakan bukti-bukti logik, ketekalan dan lain-lain. Contoh kebolehan menunjukkan kesilapan-kesilapan dari segi logik dalam sesuatu hujah yang dikemukakan oleh seseorang. Kategori kedua adalan pertimbangan dari segi kriteria luaran iaitu penilaian bahan yang merujuk kepada beberapa kriteria yang dipilih atau yang diingati. Contohnya perbandingan mengenai teori-teori utama, generaliasasi dan fakta mengenai kebudayaan tertentu.


            Rumusan

Taksonomi dalam pendidikan dibahagikan kepada 3 domain. Takonomi Bloom menghuraikan aras yang terdapat dalam domain kognitif yang melibatkan perilaku-perilaku yang menekankan aspek intelektual, seperti pengetahuan, pengertian, dan ketrampilan berfikir. Domain kognitif ini mengandungi enam elemen yang terdiri dariapda dua aras iaitu aras pemikiran mudah dan aras pemikiran tinggi. Elemen tersebut adalah pengetahuan, pemahaman, aplikasi, analisis, sistesis dan penilaian.
Elemen ini disusun secara menaik mengikut aras pemikiran iaitu dari aras mudah kepada aras pemikiran tinggi. 

Konsep Pentaksiran, Pengujian dan Penilaian


Konsep Pentaksiran, Pengujian dan Penilaian

Secara menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek hasil pengajaran dan pembelajaran dan juga hasil program pengajian berbanding matlamatnya.  Dalam dunia pendidikan, penilaian yang sistematik, dengan mengambil kira semua faktor yang boleh mempengaruhi guru dalam membuat sesuatu keputusan dengan tepat. Pengujian, pengukuran dan penilaian adalah beberapa  konsep penting dalam dunia pendidikan.  Sering kali istilah ini digunakan secara bertukar ganti. Secara khususnya, ketiga-tiga istilah berkenaan mempunyai makna yang spesifik dan ketiga-tiganya mempunyai perbezaan. 


       Pentaksiran

Pentaksiran adalah suatu proses yang meliputi pelbagai kaedah untuk menentukan tahap sesuatu ciri atau atribut yang diperolehi seseorang individu. Pengukuran merupakan suatu proses kuantifikasi dengan memberi nilai angka kepada kewujudan sesuatu ciri dan atribut. Dalam pengajaran dan pembelajaran di universiti, kewujudan ciri “penguasaan” sesuatu isi kursus yang diajar oleh pensyarah pada pelajar dikuantifikasikan dengan memberi skor ujian. Pentaksiran adalah bertujuan sebagai salah satu proses mendapatkan gambaran tentang prestasi seseorang dalam pembelajaran. Pentaksiran juga dapat digunakan untuk menilai aktiviti yang dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran. Seterusnya, mendapatkan maklumat secara berterusan tentang pengajaran dan pembelajaran serta membantu guru untuk membaiki pengajaran dan pembelajaran. Melalui pentaksiran yang dijalankan, guru dapat merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang tersusun dan sistematik bersesuaian dengan tahap keupayaan murid. Guru dapat melibatkan semua atau sebahagian besar murid dalam kelas secara efektif dan dapat merancang serta melaksanakan aktiviti tindakan susulan yang berkesan.pentaksiran merangkumi aktiviti menghurai, merekod, memberi skor dan mengintepretasi pembelajaran seseorang murid. Pentaksiran yang baik dapat dinilai melalui beberapa ciri seperti ;
  1.       i.        Keobjektifan iaitu berdasarkan ketepatan seseorang pemeriksa memeriksa skrip jawapan.
  2. Kebolehtadbiran susulan iaitu berdasarkan kelicinan dan kerja-kerja yang dilaksanakan secara berpusat atau berasaskan sekolah.
  3. Kemudahtafsiran berdasarkan calon iaitu bergantung tentang maklumat tentang calon skor, mendiskriminasikan, dan menepati tujuan mengadakan sesuatu ujian.

   iv.        Menyeluruh iaitu mengandungi soalan-soalan yang mewakili semua objektif yang penting.
Terdapat beberapa kaedah yang biasa digunakan dalam menjalankan pentaksiran iaitu seperti pemerhatian, lisan dan penulisan.
Petaksiran boleh juga dibuat tanpa menggunakan pengujian. Sebagai contoh, kemahiran melukis seseorang murid boleh diukur melalui pemerhatian atau pencerapan, sementara pengetahuan dan sikapnya boleh diukur melalui temubual. Justeru, kita boleh menganggapkan pentaksiran sebagai proses untuk mendapatkan sesuatu ukuran dengan menggunakan kaedah tertentu, manakala pengujian pula merupakan salah satu daripada kaedah tersebut. Pentaksiran  tidak bersifat mutlak, misalnya, pengukuran keupayaan mental seseorang sudah tentu lebih sukar diukur secara tepat berbanding ketinggian fizikalnya. Ketinggian fizikal seseorang boleh diukur secara tepat dengan menggunakan alat ukur yang tepat seperti penggunaan pembaris. Seterusnya, seseorang pelajar yang mendapat skor 90 tidak boleh dianggap mengetahui dua kali ganda daripada pelajar yang mendapat skor 45, walaupun skor 90 itu dua kali ganda 45. Seseorang pelajar yang mendapat skor sifar pula tidak juga
boleh dianggap sebagai tidak mempelajari/ mengetahui tentang sesuatu pelajaran yang diajar guru. Ini jelas menunjukkan ukuran aspek-aspek berkenaan bukanlah petunjuk yang tepat sebagaimana ukuran ketinggian fizikal pelajar menggunakan pembaris.
Justeru, seseorang guru perlu menggunakan alat yang tepat bagi menjalankan pentaksiran yang tepat. Jika alat yang digunakan mempunyai kecacatan, maka sudah pastilah ukuran yang diperoleh juga tidak tepat.


      Pengujian


Pengujian merupakan proses mengaturkan satu siri tugasan untuk diselesaikan supaya pemerhatian tepat dibuat tentang penguasaan pelajar dalam sesuatu kursus di universiti. Ujian adalah alat ukur. Ujian digunakan bagi mengukur ‘penguasaan’ pelajar dalam sesuatu kursus. Ujian mengandungi satu set tugasan (dalam bentuk tugasan) yang berdasarkan sesuatu kursus bagi merangsang pelajar untuk ‘menunjukkan’ tahap penguasaan mereka dalam kursus berkenaan. Tahap penguasaan pelajar biasanya dikuantifikasikan dengan memberi skor kepada jawapan yang diberi.

Memandangkan ujian merupakan alat ukur yang sering digunakan untuk mendapatkan bukti empirik bagi tujuan penilaian pengajaran dan pembelajaran di universiti, tumpuan perlu diberi bagi membina ujian yang bermutu, mentadbir ujian berkenaan dengan betul dan mentafsir dapatannya dengan tepat. Kita perlu memastikan penilaian terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dapat dilakukan dengan sempurna dan boleh dipertahankan. Satu daripada cara-cara memastikan ini berlaku ialah dengan menjalankan pengujian yang berkualiti.

Hasil daripada pemarkahan jawapan pelajar, satu ukuran yang disebut sebagai “markah” akan diberikan kepada pelajar tersebut. Pengujian menjelaskan tahap berapa baiknya prestasi pelajar yang diuji.
Proses pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti pelaksanaan/
pentadbiran ujian dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan. Melalui pengujian inilah seseorang guru mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya telah menguasai pengetahuan, kemahiran atau sikap yang ingin disampaikan guru.

Kesimpulannya, pengesanan hasil pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat melalui
pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat, yang dilaksanakan guru dalam bilik darjah. Justeru, kecekapan guru membangunkan alat pengujian amat penting, malah sama pentingnya dengan penguasaan guru terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.


       Penilaian

Penilaian adalah konsep yang telah digunakan dalam pelbagai bidang. Penilaian dilakukan kerana mempunyai matlamat tersendiri. Dengan mengadakan penilaian, ia akan membolehkan kita membuat anggaran, sama ada matlamat yang telah ditetapkan itu tercapai atau sebaliknya. Penilaian juga dapat dianggap sebagai satu cara untuk mendapatkan bukti yang tepat tentang sesuatu perkara. Maklumat dan bukti ini amat penting dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Misalnya, dalam pendidikan, penilaian dapat menyelesaikan masalah tentang pencapaian matlamat yang ditetapkan, seperti menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) di kalangan murid sekolah rendah. Dalam membuat penilaian, anda mungkin sering kali berhadapan dengan pelbagai masalah. Misalnya, tentang persoalan yang ingin diselesaikan, apakah bukti yang dianggapkan mencukupi atau bagaimana cara mendapatkan maklumat, siapa yang perlu mendapatkan maklumat dan sebagainya. Dengan memahami konsep pengujian, pengukuran dan penilaian, kita akan dapat merancang langkah-langkah dengan lebih teratur dan sistematik bagi mendapatkan maklumat yang tepat. Banyak definisi telah diberikan kepada istilah “penilaian”.
Penilaian boleh dianggap sebagai proses membuat pertimbangan atau keputusan
dalam memberikan nilai, mutu, kualiti atau harga bagi sesuatu benda atau perkara.
Secara menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek hasil pengajaran dan
pembelajaran dan juga hasil program pengajian berbanding matlamat asalnya. Dalam keadaan ini kita boleh mengatakan guru sebenarnya mengukur pencapaian pelajar melalui ujian yang dijalankan. Tindakan susulan guru ialah menilai ukuran pencapaian tersebut dengan menggunakan keputusan ujian itu bersama maklumat lain yang berkaitan. Selain menggunakan data kuantitatif, penilaian juga boleh dibuat dengan
menggunakan data berbentuk kualitatif seperti yang diperoleh daripada pemerhatian atau temubual.


        Perbandingan Pengujian, Penilaian dan Pentaksiran

Secara umumnya pengujian,penilaian dan pentaksiran digunakan untuk menentukan tindakan susulan yang harus dilakukan oleh pihak tertentu untuk penambahbaikan dalam aspek kaedah, pendekatan yang digunakan, teknik dan starategi yang akan digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Walaubagaimanapun pengukuran,pengujian, penilaian dan pentaksiran mempunyai konsep yang berbeza dan setiap daripadanya mempunyai hasil yang berlainan dalam membantu proses pentaksiran dijalankan secara keseluruhannya. Oleh yang demikian perbezaan konsep pengujian, penilaian dan pentaksiran ialah:

perbandingan
Pentaksiran
pengujian
penilaian
Definisi
Sebuah proses yang menentukan peringkat pencapaian dan prestasi seseorang individu atau murid
Satu alat yang sistematik untuk menilai dan mengukur perubahan dalam sesuatu aspek tingkah laku.
Sebuah proses menentukan perubahan tingkah laku dan membuat pertimbangan nilai.
Tujuan
Bagi membuat pengelasan terhadap pencapaian dan kedudukan dalam pembelajaran
Untuk menentukan pencapaian terhadap sesuatu pembelajaran
Memberi maklumat tentang pencapaian objektif pembelajaran. Kaedah mengajar dan kurikulum.                      
Bentuk
1.  Set ujian bertulis dengan markah dan gred
1.    Pemerhatian
2.    Ujian lisan
3.    Ujian bertulis
1.    Jadual
2.    Gred berdasarkan teknik perangkaan
Proses perlaksanaan
Menjalankan proses pengujian menggunakan set ujian dan kemudian mencatat atau merekod markah serta memberi gred
Menyediakan set ujian berdasarkan cara ujian yang ingin dijalankan.
Melakukan pentadbiran semasa menjalankan ujian dan seterusnya menjalankan  pemeriksaan terhadap set ujian yang telah dijalankan.
Menentukan kaedah pengukuran yang ingin dijalankan dan melakukan proses pengukuran dan penganalisaan semasa pengukuran dilakukan.
Kemudian proses interpretasi dijalankan sebelim melapor dapatan kajian dan tindakan.
Masa
Selepas sesi pembelajaran
Selepas sesi pembelajaran
Boleh dijalankan sebelum, semasa atau selepas sesi pembelajaran
liputan
Terhad kepada sesuatu peringkat pembelajaran
Terhad kepada sesuatu kemahiran  atau pembelajaran yang telah disampaikan
Menyeluruh terhadap sesuatu pembelajaran sehingga kepada keseluruhan sesebuah kurikulum
keputusan
Menunjukkan pencapaian secara relatif
Menunjukkan prestasi sesuatu kemahiran atau penguasaan pembelajaran yang spesifik
Menunjukkan pencapaian keseluruhan seseorang individu namun tidak hanya menggambarkan kebaikan individu tersebut.


            Rumusan
Kesimpulannya pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat dan berkesan yang dijalankan oleh guru di bilik darjah membantu guru dalam mempertingkatkan pencapaian pengajaran dan pembelajaran yang berkesan serta membantu guru dalam memperkembangkan lagi teknik, kaedah dan mengesan kelemahan pelajar.