Thursday, February 14, 2013

KONSEP ASAS KEPEMIMPINAN GURU


Dalam menuju ke arah matlamat Negara maju, Masyarakat kini mulai sedar bahawa kemajuan  Negara baik dari segi pembangunan sosial, politik dan agama amat bergantung kepada kecekapan dan keberkesanan sistem pendidikan Negara. Perkembangan pendidikan yang menyeluruh dan pesat pula memerlukan pemimpin dan penampilan ciri-ciri kepemimpinan yang berkesan ke arah pencapaian aspirasi Negara.
          Pada amnya, kepemimpinan adalah satu proses yang melibatkan keupayaan dan kekuatan menyakinkan orang lain. Kepemimpinan adalah satu proses mempengaruhi tingkah laku orang lain untuk menggalakkan mereka bekerja ke arah pencapaian sesuatu matlamat yang ditetapkan. Kepemimpinan akan saling berkaitan dengan pemimpin.  Bagi mengekalkan kepemimpinan orang lain terhadap guru, seseorang guru perlulah sentiasa meningkatkan kebolehannya dalam bidang yang dipertanggungjawabkan. Dengan itu, perlaksanaan tugasan melalui kepemimpinan guru memerlukan kriteria-kriteria seperti keperibadian yang perlu disemai dan dapat melahirkan rasa hormat, personaliti yang perlu diperkembangkan, kedudukan yang perlu dihormati dan kebolehan yang mewujudkan kepercayaan dan amanah.
          Justeru itu, banyak yang perlu dihuraikan dan difahami daripada konsep kepemimpinan ini kerana konsep kepemimpinan guru itu sendiri adalah amat rumit.
          Jika dilihat dalam konteks guru di sekolah dan peranan hakiki seorang guru untuk menyampaikan ilmu dan pengetahuan, seorang guru itu haruslah mempunyai kepimpinan dalam bilik darjah. Kepimpinan dalam bilik darjah merupakan satu set kemahiran di mana guru menggunakan kepimpinannya untuk mengurus dirinya sendiri dan berkomunikasi dengan yang lain. Kepimpinan guru dalam bilik darjah memerlukan tanggungjawab guru untuk mewujudkan suasana iklim bilik darjah yang kondusif untuk menyampaikan proses pengajaran dan pembelajaran secara berkesan kepada murid.  Bagi mewujudkan budaya bilik darjah yang efektif, guru-guru perlu mampu membangkitkan minat murid untuk sentiasa seronok, ceria dan tidak mempunyai tekanan dalam menuntut ilmu. Corak dan suasana interaksi ini lazimnya boleh dicapai dengan mengambilkira tiga faktor yang mempengaruhi bilik darjah iaitu faktor fizikal, faktor sosial dan faktor emosi. Selain itu, cara penyampaian dan stail kepimpinan guru dalam bilik darjah merupakan aspek utama bagi menghasilkan iklim pembelajaran yang berkesan. Perkara ini termasuklah suara guru yang sesuai, lantang dan jelas menyampaikan pengajaran. Di samping itu, sikap positif dan berekspektasi tinggi yang dipaparkan oleh seorang guru akan membawa kepada kecemerlangan murid. Cara kepimpinan guru yang demokratik yang menekankan kerjasama, berinisiatif dan penggunaan pujian juga mampu membimbing murid ke arah nilai positf. Contoh Kepemimpinan guru dapat dilihat melalui keadaan seperti ketika suasana kelas sedang bising, dan apabila guru mengangkat tangan semua murid yang bising dalam kelas menjadi senyap dan kembali fokus kepada pengajaran guru.
          Kepemimpinan seorang guru turut dipandang dalam sudut pandangan islam. Menurut perspektif islam, kepimpinan adalah amanah yang wajib ditunaikan. Pemimpin pula ialah orang memandu dan mengajak orang lain ke arah kebahagiaan, mendapat kredhaan Allah, membuat segala suruhanNYa dan meninggalkan segala laranganNya. Seorang pemimpin seharusnya beriman kepada Tuhan dan mempunyai kepercayaan dan kepatuhan kepada agama. Tidak kiralah sama ada guru tersebut beragama Islam, Kristian, Hindu ataupun Buddha, kepercayaan ini penting bagi memastikan mereka mempunyai pegangan dan dasar kepercayaan yang utuh. Bertitik tolak kepada kepercayaan kepada agama ini lah akan mencernakan peribadi terpuji selaras dengan tuntutan agama.  Manakala konsep etika dan amalan keagamaan seharusnya member kekuatan jatidiri kepada para guru yakni pemimpin di dalam memimpin sesebuah organisasi terutamanya memacu kecemerlangan pendidikan di sekolah. Dalam merealisasikan dan melahirkan guru yang mempunyai kepimpinan berwibawa seperti yang dianjurkan, beberapa peranan penting harus lah dimainkan oleh seseorang pendidik.peranan paling utama yang perlu ditonjolkan adalah menjadi role model kepada setiap murid di sekolah. Guru haruslah berupaya dan berkemampuan untuk memberikan contoh tauladan terbaik, contoh apabila berhadapan dengan seorang murid yang bermasalah disiplin, nasihat dan langkah penyelesaian yang diberikan mestilah sesuai dan bertetapan dengan ciri sikap dan perilaku serta akhlak guru itu sendiri. Seorang guru yang baik mesti mampu untuk merubah murid menjadi baik dan begitulah sebalikya.
          Kepemimpinan juga adalah satu proses mempengaruhi tingkah laku orang lain untuk menggalakkan mereka bekerja ke arah pencapaian sesuatu matlamat yang ditetapkan. Ini bermaksud, kepemimpinan juga merupakan keupayaan untuk mempengaruhi ahl-ahli kumpulan untuk mencapai sesuatu matlamat dan untuk mempengaruhi sistem kepercayaan, tindakan dan nilai ahli-ahli dalam kumpuannya.konsep asas kepemimpinan yang seterusnya adalah merujuk kepada kepimpinan diantara pemimpin dengan pengikut. Walaupun pemimpin mempunyai kuasa tetapi kekuatan pengaruh lebih bergantung kepada pujukan daripada paksaan. Proses ini selalunya melibatkan pertalian pengaruh yang bersifat dua arah dan tujuan utama ialah untuk mencapai matlamat bersama. Jadi kepimpinan bukan hanya tanggungjawab pemimpin, tetapi memerlukan usaha daripada pengikut-pengikutnya.
          Dalam konsep kepimpinan guru dan budaya sekolah, guru merupakan pemimpin yang berperanan sebagai agen perubahan. Perubahan yang dimaksudkan adalah melibatkan perubahan ke atas sekolah dan pengajaran dalam bilik darjah. Guru juga adalah individu yang menggariskan hala tuju dan membentuk murid ke arah merealisasikannya dengan nilai-nilai kepimpinan yang positif. Guru sebagai pengajar perlu berusaha untuk memahamkan murid berkaitan konsep dengan mudah, sistematik, seronok dan bermakna. Di samping itu, guru turut sama berperanan sebagai individu yang menjadi jambatan rujukan pengetahuan dan maklumat para murid. Justeru, guru perlulah menunjakkan kepimpinannya dengan sentiasa bersedia dan boleh menyesuaikan diri dengan keadaan iaitu mempamerkan corak atau gelagat kepimpinan yang sesuai. Contohnya, dalam zaman globalisasi pendidikan yang mencabar ini, rata-rata murid terlebih dahulu terdedah dan mahir dalam penggunaan TMK. Maka, sebagai guru, kita perlu lah mengambil langkah yang lebih besar untuk mempelajari kemahiran TMK dan berada seiring dengan perkembangan budaya dan persekitaran murid.
          Kecemerlangan sesebuah sekolah bergantung kepada pendekatan dan kesungguhan guru-guru di sekolah bekerjasama dalam mendukung hasrat misi dan visi sekolah. Kerjasama dalam kalangan guru bukan sahaja menyerlahkan profesionalisme keguruan malah turut menjulang kepimpinan guru. Seorang guru yang berkarisma dalam memimpin sesuatu organisasi juga berupaya untuk memupuk nilai kepimpinan dalam diri rakan sejawatanya dan seterusnya mewujudkan suasana yang fleksibel untuk sebarang bentuk kerjasamaantara mereka. Sekolah yang berjaya dan berkesanbiasanya dibantu oleh penglibatan aktif guru-guru dalam tugas berkumpulan dan lazimnya wujud kerjasama harmoni dalam kalangan komuniti tersebut. Contoh yang boleh dikaitkan dengan daya kepimpinan sesame guru ini adalah seperti keupayaan seseorang guru untuk bekerjasama, berinteraksi serta mendorong rakan sejawatanya dengan menggunakan kuasa pujukan daripada paksaan untuk mencapai matlamat sesebuah aktiviti yang telah dirancangkan.
          Konsep kepemimpinan guru ini juga turut meliputi ruang lingkup yang lebih luas dengan melibatkan masyarakat umum. Guru yang mengamalkan kepimpinan yang berkesan dapat menarik kepercayaan masyarakat untuk bekerjasama dengan pihak sekolah. Ahli masyarakat yang dimaksudkan di sini adalah golongan ibu bapa yang menjadi tulang belakang kepada kehidupan sosial murid. Guru yang berwibawa memiliki keupayaan untuk melibatkan ibu bapa dalam proses memberikan pendidikan formal kepada anak-anak mereka. Hubungan ibu bapa dan guru yang tidak hanya terbatas di atas meja mesyuarat PIBG akan membuka ruang kolaborasi yang lebih dinamik serta mengikis kebimbangan ibu bapa terhadap kreadibiliti guru dalam aspek pembentukan disiplin dan jati diri anak mereka. Kepemimpinan guru yang berkesan juga mengurangkan beban individu kerana kerjasama kumpulan lebih dititikberatkan. Sebagai contoh, pengagihan tugas dalam  mesyuarat agung PIBG antara pihak guru dan pihak ibu bapa akan mengurangkan beban tugas sesama ahli dan pada masa yang sama memupuk kerjasama dua hala melalui kepimpinan guru.
Secara ringkasnya, guru boleh dianologikan sebagai kapten kapal yang sedang mengemudi sebuah kapal yang tidak ada penghujung pelayarannya tetapi yang ada Cuma persingahan untuk menurunkan penumpang. Jika baik pengemudiaanya maka penumpang akan berlabuh dengan selamat. Murid dianalogikan sebagai penumpang kapal yang belayar tersebut. Ibu bapa pula adalah bebaling yang menyokong dan memastikan kapal sampai ke destinasi yang hendak dituju sepertimana diharapkan. Analogi ini memberikan gambaran akan betapa pentingnya nilai kepimpinan seseorang guru yang juga digelar arkitek pembinaan insan salam melaksanakan tugas yang tiada penghujungnya. , kepimpinan pendidikan di peringkat sekolah melibatkan satu set proses pengaruh yang kompleks dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan bagi memperbaiki kesannya kepada sekolah adalah melalui perubahan secara sukarela. Oleh itu, proses kepimpinan peringkat sekolah berlaku bermula daripada guru kepada pentadbir, pentadbir kepada guru-guru dan guru-guru dengan ibubapa, masyarakat, dan lain-lain agen yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan sekolah.

2 comments: