Thursday, February 14, 2013

MASALAH SEMASA MEJALANKAN KERJA-KERJA PENTADBIRAN SEKOLAH




Pentadbiran dan pengurusan di sekolah adalah berkait dengan bidang kepemimpinan. Guru besar adalah orang yang memainkan peranan penting dalam melaksanakan tugas dalam bidang pentadbiran di sekolah. Guru besar adalah pentadbir, pengurus dan yang lebih besar di situ adalah seorang pemimpin. Sebagai seorang pentadbir yang melibatkan diri dalam pentadbiran pendidikan, maka ia perlu kepada proses kerjasama di antara dua orang atau lebih yang berasaskan kepada rasional yang tertentu untuk mencapai tujuan yang telah ditentukan sebelumnya. Pentadbiran secara amnya tertumpu kepada hal-hal yang sebahagian besar berhubung dengan pembahagian kerja dan penyelarasan perhubungan untuk melahirkan kecekapan dalam organisasi. Konsep sesebuah pentadbiran, tidak akan lari daripada aspek kesepakatan. Tanpa melibatkan proses kerjasama, maka pentadbiran dalam erti kata sebenar tidak akan berlaku di sekolah.

          Namun, sebagai orang bertanggungjawab sebagai pentadbir dan pengurus di sebuah organisasi sekolah pastinya mempunyai cabarannya dan berhadapan dengan pelbagai masalah semasa menjalankan kerja-kerja pentadbiran di sekolah. Masalah yng dihadapi biasanya meliputi banyak aspek dan faktor dibawahnya. Sebagai seorang pentadbir, dia perlu tahu semua perkara yang yang berlaku di sekolah dan bertanggungjawab untuk semua hal yang berlaku. Masalah yang biasa dihadapi oleh golongan pentadbir termasuklah disiplin guru yang berada dibawahnya, masalah keselamatan, perjalanan kewangan sekolah, kemudahan dan infrastruktur, PIBG dan lain-lain lagi.

          
Masalah yang melibatkan guru biasanya adalah masalah seperti guru yang datang lewat ke sekolah atau enggan dan lambat masuk ke kelas untuk memulakan pengajaran. Walaupun telah beberapa kali ditegur oleh guru besar dan pihak pentadbir, masalah tersebut tetap berulang. Ia menjadi cabaran kepada guru besar dan pihak pentadbir untuk melaksanakan pentadbiran dengan melibatkan sekumpulan pekerja di bawahnya dengan cara yang disenangi.

          Daripada aspek keselamatan, ada sesetengah sekolah yang mengalami masalah histeria dalam kalangan murid dan sekolah akan berhadapan dengan masalah keselamatan yang kritikal. Ini disebabkan oleh ada dalam kalangan murid yang diserang histeria yang berada dalam keadaan separa sedar bertindak luar jangka. Lebih menakutkan, mereka yang mengalami histeria cuba untuk mencederakan diri seperti memecahkan cermin tingkap, mengamuk dan ada juga yang cuba untuk terjun dari bangunan tinggi. Rentetan itu, golongan pentadbir perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselematan muridnya selagi murid tersebut berada dalam kawasan sekolah.

          Masalah seterusnya adalah melibatkan faktor kewangan, kadangkala kemasukan wang yang sepatutnya diterima daripada kerajaan lambat masuk ke akaun sekolah dan menyebabkan sekolah mempunyai sumber kewangan yang terhad. Misalnya peruntukan bantuan kewangan perkapita bagi mata pelajaran. Kelewatan ini amat menyukarkan pihak sekolah terutamanya apabila sekolah menghantar wakil murid untuk menyertai pertandingan luar sekolah seperti di peringkat zon, daerah atau negeri. Pihak sekolah terpaksa menggunakan sumber wang yang terhad dan terpaksa menggunakan kewangan daripada pihak PIBG. Lebih meruncingkan apabila, pihak PIBG juga tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi. Justeru, tanpa sumber kewangan yang baik dan mencukupi, adalah amat sukar untuk melaksanakan dan terlibat dalam pelbagai aktiviti seperti yang disarankan.

          Masalah seterusnya adalah aspek intrastruktur pula, di Malaysia ini, masih banyak sekolah yang berhadapan dengan masalah kekurangan bilik darjah tertutamanya sekolah-sekolah yang telah lama dibina. Dengan pertambahan bilangan murid dari setahun ke setahun, menyebabkan bilangan murid di dalam sesebuah kelas semakin padat dan amat sukar untuk menghasilkan suasana pembelajaran yang kondusif. Lantas, ada kelas yang akan ditempatkan secara kekal di perpustakaan, makmal sains, makmal bahasa dan bilik-bilik lain di sekolah. Ia secara tidak langsung telah menafikan fungsi utama bilik-bilik khas tersebut. Masalah seperti ini lah yang menjadi cabaran kepada para pentadbir sekolah untuk menyediakan satu kemudahan dan infrastuktur yang sesuai dan mencukupi untuk pihak sekolah.

          Masalah yang dihadapi oleh golongan pentadbiran sekolah kadang kala turut melibatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). PIBG adalah organ penting kepada sesebuah sekolah yang berperanan sebagai rakan kongsi sekolah dalam menyelesaikan masalah, birokrasi dan pelbagai isu yang timbul. Badan ini juga bertindak sebagai wadah, forum, dan khidmat bakti untuk kemajuan serta pembanguan murid dan sekolah. Ini turut melibatkan sistem pentadbiran dan pengurusan sekolah, akademik, disiplin, sistem pemantauan dan penilaian. Namun masalah akan timbul apabila berlaku perbezaan pendapat di antara PIBG dan pihak pentadbir sekolah. PIBG dan sekolah itu sendiri mempunyai perancangan yang berbeza dan inginkan yang terbaik untuk kemajuan sekolah. Menjadi masalah dan timbul kekangan kepada pihak pentadbir sekolah untuk memenuhi semua permintaan PIBG apabila PIBG itu sendiri kurang faham tentang keadaan sekolah yang dinaunginya. Ada sesetengah sekolah yang PIBG tidak member kerjasama yang baik kepada sekolah sebaliknya membantah keputusan guru besar dan kadangkala mendesak pihak sekolah untuk menjalankan sesuatu program atau apa yang telah dirancang PIBG.

          Kesimpulanya, penentu kepada kejayaan pentadbiran sekolah bukan hanya berlandaskan teori sahaja, tetapi kesemuanya berasaskan kepada kebijaksanaan guru besar itu sendiri dan peka dengan keadaan sekelilingnya. Mencari punca masalah dan menyelesaikan berasaskan kepada punca-punca yang dikenalpasti adalah penting. Sebagai sorang guru besar, sudah semestinya mahu menjadi seorang pemimpin yang berkesan. Seorang guru besar yang berkesan akan melahirkan guru, sekolah, dan murid yang berkesan. Guru besar adalah teras kepada pengurusan pendidikan di sekolah. Jika guru besar suudah tidak mempunyai kreadibiliti dan karisma yang tinggi, maka suasana sekolah akan turut pincang. Sekolah adalah merupakan ‘duta wawasan’ yang merupakan sebuah negara kecil yang perlu segala-galanya. Pemimpin dan pengikut hendaklah sentiasa taat mentaati dan menghargai di antara satu sama lain. Dengan wujudnya sifat kepipinan yang berkesan maka pengurusan dan petadbiran di sekolah akan tercapai seperti yang diharapkan oleh setiap masyarakat dan kerajaan.



1 comment: