Thursday, February 14, 2013

KEPEMIMPINAN GURU BESAR DALAM ORGANISASI SEKOLAH



Guru besar merupakan orang yang terutama di peringkat sekolah untuk menyokong dan memastikan kejayaan pelaksanaan teras yang berkaitan di peringkat sekolah. Kualiti kepimpinan yang tinggi adalah sangat diperlukan untuk mengurus dan mentadbir sekolah bagi melahirkan generasi berkualiti. Guru besar haruslah berpandangan jauh, proaktif dan berani melakukan perubahan demi kepentingan dan masa depan pelajar mengikut perkembangan dan kesesuaian zaman, dan seterusnya membimbing dan berusaha untuk melonjakkan pencapaianan sekolahnya ke peringkat yang lebih cemerlang. Dalam kajian yang dijalankan oleh Fiedler, beliau merumuskan keberkesanan kepemimpinan tertakluk kepada kesepadanan di antara dua variable iaitu gaya kepimpinan dan tahap sokongan persekitaran. Tingkahlaku pemimpin mungkin digerakkan oleh tugasan ataupun perhubungan antara manusia dan diperjelaskan dalam tiga dimensi kritikal iaitu,hubungan pemimpin-ahli, struktur tugasan, dan kedudukan kuasa.

Selain itu, guru besar perlu menjaga hubungan pemimpin-ahli yang baik bagi memperolehi kerjasama yang erat daripada guru-guru dan seluruh warga sekolah. Apabila hubungan guru besar dan guru berada dalam keadaan baik, guru akan berasa lebih mudah untuk menjalankan tugas dan meningkatkan motivasi guru untuk mengajar murid-murid. Guru juga akan berusaha untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif di dalam kelas. Seterusnya, murid-murid juga akan berasa seronok untuk belajar di dalam kelas yang kondusif bersama guru yang bersemangat dan inovatif. Mengikut kajian Arfah (1994) ke atas 85 orang guru dan 5 orang guru besar sekolah rendah di Kedah didapati faktor-faktor motivasi yang tinggi dikalangan guru ialah kesefahaman dengan guru besar, sokongan dari guru besar, persekitaran kerja yang sihat dan hubungan baik dengan rakan sekerja. Oleh itu, hubungan interpersonal dengan guru besar dan rakan sejawat merupakan faktor motivasi yang tinggi di kalangan para guru. Guru besar dan pengetua perlu sedar bahawa merekalah yang menentukan budaya persekitaran dan kecemerlangan sekolah. Jika seseorang pemimpin diterima ahli, pemimpin akan berasa dirinya dihormati dan diinspirasikan untuk memimpin ahli ke tahap lebih berkesan.

 Dalam penentuan keberkesanan dan kejayaan sesebuah sekolah, kepimpinan guru besarlah yang selalu dijadikan fokus utama oleh masyarakat. Kita tidak dapat melarikan diri daripada hakikat bahawa ibubapa menaruhkan kepercayaan yang tinggi kepada sesebuah sekolah jika mereka mempunyai kepercayaan yang tinggi pada kepimpinan guru besar. Selain itu, guru besar juga perlu merancang dengan teliti struktur tugasan dalam organisasi di sekolah. Selain daripada menjaga hubungan pemimpin-ahli yang baik, guru besar juga perlu menumpukan kepada aspek-aspek berkaitan dengan struktur tugasan seperti penyusunan serta pembahagian tugas, penekanan terhadap pencapaian matlamat sekolah, menghayati dan mengamalkan peraturan-peraturan atau arahan yang ditetapkan, penghasilan berkualiti dan budaya kerja cemerlang. Ini bersesuaian dengan Hussien (1997) yang berpandangan untuk menjadi guru besar yang mempunyai kepimpinan yang berkesan perlulah menyatakan matlamat sekolah dengan jelas kepada semua guru, staf sokongan, ibu bapa, masyarakat serta pelajar yang mempunyai kepentingan bersama. Sebagai pemimpin, guru besar perlu memastikan segala pembahagian tugasan dilakukan secara adil dan saksama tanpa ada rasa ketidakpuasan hati dari mana-mana pihak. Guru besar perlu memahami masalah yang dihadapi oleh guru-guru mereka dan perlu memikirkan cara untuk mengatasi masalah tersebut dengan berhemah.

Seterusnya ialah kedudukan kuasa yang ada pada seorang guru besar atau pengetua. Seorang guru besar mempunyai kuasa rasmi yang kuat untuk melantik, mendisiplin, menukar, dan menentukan naik pangkat seseorang guru. Disini menunjukkan, situasi menyokong proses kepimpinan. Kedudukan kuasa yang ada pada seseorang guru besar telah membantunya untuk meneruskan proses kepimpinan di sesebuah sekolah. Guru besar perlu bijak menggunakan kedudukan kuasa yang ada untuk mengawal guru-guru dengan baik dan seterusnya mewujudkan situasi kepemimpinan yang menyenangkan dalam organisasi di sekolah.


No comments:

Post a Comment