Thursday, February 14, 2013

KEBENARAN GURU DG41 HINGGA DG48 BERPOLITIK SEJAJAR DENGAN KEPIMPINAN GURU




Senario guru berpolitik bukanlah sesuatu yang baru atau luar biasa dalam sejarah politik di Malaysia.Guru dan politik adalah dua perkara yang sering diperkatakan sejak zaman sebelum merdeka lagi. Sebagai golongan cerdik pandai pada zaman itu, mereka adalah barisan hadapan yang mempelopori bukan sahaja membangkitkan gerakan politik nasionalisme tetapi juga menjadi pejuang kepada isu-isu bahasa, budaya, ekonomi dan dasar pelajaran. Kelompok ini menjadi kelompok terpenting dalam menentukan hala tuju sesebuah parti politik dalam  negara. Perubahan senario landskap parti mulai berlaku apabila kebanyakan parti politik mula mengubah arah dengan mengutamakan kemasukan golongan selain daripada guru seperti ahli korporat dan profesional berdasarkan kekuatan dari segi wang ringgit yang dianggap sebagai jaminan kepada kekuatan parti sekali gus menarik pengaruh parti. Lalu kelompok guru dikesampingkan daripada arena politik dan hanya dibenarkan menjadi ahli biasa parti sahaja walaupun mereka mempunyai kapasiti intelektual dan pengaruh tulen terhadap masyarakat. Perkembangan yang semakin pesat dalam sektor pendidikan telah menyebabakan kerajaan membuat keputusan untuk menyekat semua kakitangan kumpulan A termasuk guru bergiat aktif dalam mana-mana parti politik.  Setelah 17 tahun kemudian, mengikut pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 tahun 2010 bertarikh 30 julai 2010 dan berkuatkuasa 1 ogos 2010, kerajaan telah  bersetuju untuk membenarkan guru-guru berijazah DG41 hingga DG48 kembali berpolitik. Bagi tujuan itu, kerajaan telah meminda peraturan 21 peraturan Awan (kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang sebelum ini hanya membenarkan pegawai dalam kumpulan sokongan sahaja menyertai parti politik dengan kebenaran bertulis Ketua Setiausaha Kementerian. Walau bagaimanapun, kebenaran ini tidak terbuka kepada pegawai-pegawai gred berkenaan yang memegang jawatan pentadbiran di mana-mana institusi pendidikan.


          Keputusan membenarkan guru kembali aktif berpolitik ini telah menimbulkan pelbagai pandangan serta reaksi baik dari aspek postitif dan negatif daripada banyak pihak. Persoalan mulai timbul apabila ada pihak yang mempertikaikan adakah kebenaran tersebut sejajar dengan kepimpinan guru di sekolah.
          Keterbukaan yang telah ditunjukkan oleh pihak kerajaan dalam membenarkan guru-guru-guru siswazah di Malaysia berpolitik dilihat sebagai satu lagi keterbukaan oleh pihak kerajaan dalam membawa perubahan landskap politik di negara kita. Kebenaran ini merupakan satu lagi bonus yang diberi kepada golongan pendidik untuk berkhidmat kepada rakyat dan menyuarakan hasrat serta pandangan dalam saluran politik. Menurut presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohamed Arsad, pembabitan guru siswazah dijangka mengubah senario politik negara kerana kalangan guru merupakan kelompok manusia yang sentiasa berkhidmat dan menyumbang bakti secara ikhlas dan terarah untuk tujuan kebaikan. Ia merupakan satu peluang terbaik kepada kelompok ini untuk mengambil bahagian dan melontarkan idea bernas sesuatu dasar kerajaan untuk kebaikan agama, rakyat dan negara. Seperti yang diketahui, golongan guru adalah golongan yang paling hampir dengan masyarakat. Mereka yang berjawatan guru dihormati dan dipnadang tinggi oleh masyarakat. Sesuatu yang menarik adalah keupayaan mereka mempengaruhi masyarakat walaupun mereka tidak berduit kencang. Kuasa rujuk yang dimiliki oleh mereka sukar digugat oleh kelompok lain termasuk kelompok korporat. Semuanya kerana mereka bergelar guru. Justeru peluang ini dilihat amat baik untuk mengumpul maklumat dari peringkat akar umbi ke peringkat tertinggi dengan guru sebagai medium saluran.


          Kebenaran berpolitik yang diberi kepada guru juga dapat memberikan impak positif dan mampu memberikan sumbangan kepada pembangunanan masyarakat. Golongan guru adalah golongan yang dianggap elit dan berpendidikan. Golongan guru diharapkan boleh memimpin dan pada masa yang sama membentuk modal insan untuk melahirkan para cendekiawan sejajar dengan kemahiran kepimpinan yang di miliki guru. Jika dahulu, peranan guru memperjuangkan kemerdekaan tetapi kini guru perlu mengisi kemerdekaan dengan membentuk modal insan. Atas dasar inilah, dapat dilihat kebenaran guru berpolitk sejajar dengan kepimpinan di sekolah kerana terdapat ruang untuk para guru menyumbang bakti selain menyambung kepercayaan kepada guru yang ditunjukkan pada masa dahulu. Suara guru dalam iklim politik negara sangat memberikan diperlukan kerana mereka sangat diterima oleh masyarakat dan langkah itu sebenarnya memberkan kesan positif kepada negara selain bakal melahirkan politik kepimpinan dan pemimpin yang berkaliber serta berintegriti dan disegani. Dari segi sejarah juga turut membuktikan bahawa guru mempunyai daya kepemimpinan dalam hiraki politik serta berperanan penting dalam menggerakkan nasionalisme ketika itu. Daya kepimpinan intelektual yang dimiliki golongan guru ini telah menjadi kekuatan yang didambakan parti politik untuk membawa keseimbangan kepada corak kepimpinan parti yang selama ini mengamalkan corak kuasa atau insitu semata-mata.


          Namun, kerisauan dan dan kegusaran timbul disebalik kebenaran berpolitik ini iaitu dikhuatiri golongan guru akan lupa pada tanggungjawab sebenar mereka dalam profesion keguruan. Tanggungjawab mengajar kepada  murid-murid di sekolah mereka akan diabaikan semata-mata menyibukkan diri dalam politik malahan akan menarik murid-murid untuk menyokong ideologi kepartian yang dibawa oleh mereka di sekolah. Kegusaran masyarakat yang sebenarnya adalah bimbang para guru akan memanipulasikan tugas dan guru akan menghabiskan masa dengan berpolitik, menggunakan ruang kelas sebagai medan menitipkan ideology politik, menggunakan sekolah sebagai kebuk politik dan seumpamanya. Lantaran itu, dibimbangi matlamat pembelajaran yang sepatutnya diterima oleh murid tidak kesampaian. Walhal, bayangan negatif ini boleh diatasi. Insan guru pastinya adalah insane yang dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk, yang hitam dan yang putih. Apa yang pasti jika jumlah 140,000 guru diambil kira, sebenarnya hanya 20 peratus sahaja yang akan terlibat sebagai kelompok aktif politik manakala selebihnya akan menjalani peranan sebagai seorang pendidik seperti biasa. Justeru itu, kita perlu yakin  akan kemampuan dan keupayaan warga guru untuk bergerak aktif dalam politik.


          Ada juga pihak yang berpendapat, guru tidak sesuai dibenarkan berpolitik kerna ia dikhuatiri boleh memecahbelahkan warga pendidik di sekolah. Sesetengah guru mungkin akan begitu taksub dengan parti yang dianggotai dan disokongnya sehingga wujud sikap berpuak sekali gus menjejaskan cara kerja dan keharmonian di tempat kerja dan lebih ditakuti akan menjejaskan murid-murid yang menjadi klien kepada para guru. Dalam pemilihan jawatan dalam organisasi di sekolah contohnya, dikhuatiri berlaku lobi melobi. Yang mempunyai kelebihan tertentu pasti menggunakan jawatan politiknya untuk menarik penyokong. Perkara sebegini adalah tidak sihat dan pastinya menimbulkan kekecewaan kepada guru lain sehingga boleh menyebabkan bermasam muka. Ada pula, guru mungkin menggunakan pengaruhnya dalam politik sehingga tidak mengendahkan matlmat sekolah serta tidak menghormati golongan pentadbir di sekolah. Mereka beranggapan sudah terlalu berkuasa dan berlesen besar sehingga sukar dikawal oleh majikan. Dalam masalah ini, perlu lah diingat bahawa kebenaran guru berpolitik ini adalah berlandaskan kepada peraturan-peraturan yang telah digariskan dimana seorang guru itu perlu mematuhi garis panduan berpolitik yang telah dikuatkuasakan dan perlu diambil tindakan sekiranya melakukan kesalahan dan mengingkari perjanjian tentang tugas hakiki sebagai guru. Para guru juga telah diberi peringatan bahawa haruslah bersikap profesional sekiranya ingin terlibat aktif dalam politik iaitu dengan menumpukan kepada tugas hakiki iaitu mendidik dan menjadikan politik sebagai tugas sampingan. Para guru juga diingatkan untuk meninggalkan buku politik diluar pagar sekolah tatkala melangkah ke kewasan sekolah. Sekolah adalah tempat untuk guru menjalankan tugas dan amanah rakyat serta mestilah bersifat neutral untuk kepentingan nusa dan bangsa.


          Kesimpulannya, kebebaran berpolitik dalam kalangan guru siswazah adalah sejajar dengan kepimpinan guru dan relevan dijalankan sekiranya guru tersebut mampu bersikap profesional dan adil serta turut diberikan sokongan secara positif daripada pihak kerajaan. platform politik ini diharapkan dapat memberikan sesuatu yang bermakna kepada perkembangan dan kemajuan pendidikan negara khususnya dan persada politik amnya untuk meramaikan kelompok profesional ke arah menyediakan pendidikan yang lebih berkualiti demi melahirkan modal insan yang memiliki akhlak terpuji. Mutakhir ini, masih ada lagi warga pendidik yang menerima kesan daripada langkah berpolitik yang diambil apabila ditukarkan ke sekolah lain terutamanya ke sekolah pedalaman tanpa mengikut prosedur yang betul dan bukan atas keperluan perkhidmatan sebaliknya kerana dendam dan tekanan politik akibat daripada tidak memihak kepada parti politik yang sedang memerintah kerajaan. Justeru untuk melestarikan dasar ini memerlukan jalinan kerjasama yang adil, saksama dan samarata daripada pihak kerajaan dan guru itu sendiri. Semuanya harus lah berbalik kepada tugas dan tanggungjawab hakiki seorang guru iaitu mendidik murid untuk menjadi warga yang berjasa kepada agama, negara dan keluarga serta pada masa yang sama menjadi pemimpin yang berkaliber, berintegriti, dihormati dan disegani kepada masyarakat. Dalam hal ini, warga guru perlu akur dan faham akan diri mereka yang sebenar iaitu sebagai penjawat awam. Para guru perlu jelas dam faham peranan sebagi pendidik dan ahli politik. Maknanya di sini, sebaik sahaja guru melangkah kaki ke dalam kawasan sekolah, maka buku politik perlulah ditutup dan fokus kembali kepada pengajaran dan pembelajaran. Maknanya juga, guru yang terbabit perlu mempunyai keupayaan menjalankan dua tugas dan tanggungjawab dalam kerangka masa, tempat, dan matlamat, yang berbeza. Satu untuk mendidik dan melahirkan generasi Malaysia yang berjaya dalam hidup dan kedua adalah untuk berbakti kepada rakyat melalui mekanisme politik.


No comments:

Post a Comment