Monday, February 7, 2011

CIRI DAN KUALITI GURU DALAM MENGHADAPI CABARAN MASA KINI

CIRI DAN KUALITI GURU DALAM MENGHADAPI CABARAN MASA KINI

Menjadi guru biasa kini tidaklah semudah yang disangka. Cabaran tugas dan tanggungjawab yang diletakkan di bahu guru-guru kini ternyata amat berat. Pendidikan yang menjadi teras pembentukan mana-mana generasi turut terpanggil dan terheret untuk menangani cabaran era globalisasi. Acuan pendidikan yang tepat dan bersesuaian amat penting bagi menentukan hala tuju pembinaan tamadun manusia dan negara di Malaysia khususnya umat Islam.

Menurut Kamus Dewan global bermaksud dunia seluruhnya. Manakala , globalisasi membawa maksud menjadi atau menuju ke arah kesejagatan. Ayat yang sering kita dengar kini adalah “dunia tanpa sempadan”. Fenomena globalisasi ini berlaku di seluruh dunia dan memberi kesan kepada semua negara dalam pelbagai aspek kehidupan manusia sama ada ekonomi, politik, budaya dan pendidikan.

Proses globalisasi dianggap sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan sesiapa yang tidak turut serta akan ketinggalan. Proses globalisasi ini berlaku dalam tiga bentuk utama iaitu teknologi, ekonomi dan ideologi. Ketiga-tiga bentuk ini saling berkaitan antara satu sama lain dan mempunyai hubungan secara langsung dengan dunia pendidikanCabaran globalisasi dan liberalisasi menuntut perubahan dinamik dalam sistem pendidikan bagi melahirkan warganegara ‘glokal’ yang bertindak bijak menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi mengikut acuan local atau tempatan.

Falsafah Pendidikan Negara telah menggariskan bahawa pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah usaha untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara

Namun perlaksanaan terhadap konsep kesepaduan dalam pendidikan ini masih kabur dalam usaha mencapai matlamat melahirkan individu yang seimbang. Ini dapat dilihat pada arus pembangunan dan teknologi yang berlaku tidak seiring dengan objektif Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang menuntut tindakan yang bersepadu dalam kehidupan masyarakat dan pembangunan nasional. Cita-cita materialistik dan duniawi yang menghantui pemikiran masyarakat menyebabkan perlaksanaan FPN dalam sistem pendidikan tidak terlaksana dengan berkesan bahkan nilai-nilai murni dan didikan agama dan moral sebenarnya tidak dianggap suatu yang utama. Penghayatan terhadap nilai-nilai agama dan moral hanya suatu teori yang tertulis sahaja. Proses pengajaran dan pembelajaran tertumpu kepada proses kognitif yang dikira penting untuk menghadapi peperiksaan dan bernilai komersil untuk masa depan pelajar.

Untuk menanggani cabaran-cabaran yang dihadapi tersebut, seseorang guru itu perlulah mempunyai ciri dan kualiti yang profesional sesuai dengan peroses globalisasi ini. Cabaran guru untuk merealisasikan Misi Kementerian Pendidikan, khasnya meningkatkan kualiti sekolah ialah guru haruslah sentiasa berusaha meningkatkan taraf professional melalui latihan dalam perkhidmatan, perlaksanaan penyelidikan tindakan secara kolaborasi, membuat refleksi kendiri, memupuk budaya ilmu, menambah ilmu dan kemahiran melalui e-pembelajaran dan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang terkini untuk merancang serta melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.

Dari segi pengajaran yang efektif dalam sekolah berkualiti pula, bergantung kepada perlakuan mengajar guru dalam proses perancangan, pelaksanaan dan penilaian. Keberkesanan pengajaran boleh berlaku apabila guru telah merancang sesuatu program mengajar mengikut prinsip mengajar.pengajaran efektif mempunyai objektif pelajaran eksplisit yang ditentukan berdasarkan sukatan pelajaran serta kebolehan murid-murid. Selain itu melaksankannya dengan cekap dan berjaya menggunakan teknik mengajar yang sesuai. Strategi dan kaedah mengajar yang digunakan adalah sesuai dan cerdas diberikan aktiviti pengayaan, manakala murid-murid yang lambat dibimbing dengan aktiviti pemulihan. Keberkesanan pengajaran ini dapat dilihat apabila guru menggunakan teknik penilaian terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Seorang guru berkualiti juga perlu mempertingkatkan Profesionalisme. Guru harus sedar tentang tugas dan amanah yang dipikul untuk mendidik generasi yang akan mencapai wawasan negara. Kemahiran dan pengetahuan dalam aspek pendidikan perlu dikemaskini. Berusaha mengaplikasi kaedah- kaedah pengajaran dan pendidikan terkini. Guru perlu menyambut baik dengan mengikuti kursus-kursus pendidikan yang dianjurkan oleh pihak-pihak berwajib agar dapat mempertingkatkan keupayaan, ketahanan dan prestasi bagi mendepani cabaran yang semakin kompleks ini. Dengan ini suatu anjakan paradigma dapat dilakukan oleh para pendidik.

Perkara yang paling penting bagi guru zaman globalsasi ini ialah meningkatkan kemahiran Dalam Penggunaan ICT. Bidang perguruan sentiasa berkembang dan berubah sejajar dengan perubahan zaman. Perkembangan global dengan teknologi telekomunikasi dan internet menuntut banyak cabaran kepada pendidik untuk mencapai Misi Nasional. Para guru mesti bersikap proaktif dan terangsang dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih ini. Ilmu ICT mesti terlebih dahulu dapat dikuasai oleh para pendidik sebagai melengkapkan diri dengan kemahiran terkini bagi menyempurnakan penubuhan sekolah bestari yang berteraskan penggunaan komputer sebagai satu bentuk kurikulum wawasan negara Malaysia untuk menjadikan negara maju menjelang 2020. Guru juga harus memperlengkapkan diri secara global kerana dalam era teknologi maklumat masa kini masyarakat terpaksa berdepan dengan pelbagai peralatan elektronik dalam kehidupan harian sebagai cara hidup moden. Pembestarian sekolah seperti projek Sekolah Bestari dan SchoolNet, hendaklah dihargai oleh guru dengan menggunakan segala kemudahan semaksima mungkin.

Selain itu juga seorang guru perlulah berpengetahuan, berdaya Fikir dan berakhlak. Guru yang berpengetahuan perlu serba tahu dengan menambah pembacaan untuk peningkatan ilmu serta dapat membawa isu-isu semasa untuk dibincang dan mencari penyelesaian. Isu-isu semasa berkaitan dengan kekeluargaan dan komuniti, ekonomi dan sebagainya. Guru yang berpengetahuan dapat melahirkan generasi anak didik yang cemerlang di kemudian hari. Dalam perubahan sistem pendidikan yang semakin mencabar ini, profesion perguruan perlu menyediakan diri dengan amalan nilai murni dan akhlak yang terpuji. Dalam kurikulum pendidikan ditegaskan nilai-nilai murni yang perlu diserapkan kepada pelajar dalam pengajaran. Penerapan nilai murni ini penting untuk menyediakan para pelajar menjadi warga yang berguna kepada bangsa dan negara.

Di samping itu, guru juga mestilah berupaya membuat keputusan,menyelesai masalah serta berfikiran kritis dan kreatif. Para pendidik juga mesti sedar bahawa profesion mereka bukan sahaja mengajar tetapi terlibat sebagai pentadbir, pengurus, perancang, pelaksana, penilai, penyelia, pengawal dan sebagainya.

Tanggungjawab merupakan suatu perkara yang amat penting untuk membimbing pelajar bagi mencapai kemajuan dan wawasan, para guru perlu melaksanakan tanggungjawab terhadap terhadap pelajar seperti mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar, bersikap adil, memupuk nilai murni. Tanggungjawab terhadap ibu bapa juga penting seperti seperti mewujudkan hubungan mesra, menghormati mereka, tidak dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan ekonomi mereka dan memberi maklumat kepada mereka untuk kepentingan anak-anak mereka. Seterusnya tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara seperti mengelak dari menyebar perkara negatif, menghormati masyarakat setempat serta menggalakkan kerjasama dan persefahaman. Dan akhirnya tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion seperti mengelak dari membuat kenyataan negatif, tidak melibat diri dalam kegiatan yang menjejaskan kepercayaan masyarakat serta membantu rakan sejawat.

Kesimpulannya, peranan guru sangat penting dalam membentuk modal insan cemerlang. Oleh itu, reformasi pendidikan memainkan peranan yang penting untuk melahirkan Wawasan 2020 supaya menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dan kecemerlangan pendidikan dalam erti kata yang sebenar.

No comments:

Post a Comment