Thursday, January 5, 2012

Analisis artikel Mapping a Route Toward Differentiated Instruction by Carol Ann Tomlinson


Analisis artikel ; Mapping a Route Toward Differentiated Instruction 
by Carol Ann Tomlinson
 


Artikel yang dipilih ini bertajuk ‘Mapping a Route toward Differentiated Instruction”.Artikel ini ditulis oleh Carol Ann Tomlinson dan dihasilkan pada tahun 1999. Beliau merupakan seorang Professor dari Universiti Virginia, Charlottsville dan beliau juga merupakan seorang pensyarah dalam bidang pendidikan di universiti tersebut.

Artikel dalam kajian ini menekankan tentang kepentingan mengaplikasikan kepelbagaian kurikulum (differentiated curriculum) dan kepelbagaian cara atau arahan (differentiated instruction) dalam sesi pengajaran dan pengajaran supaya hasil pembelajaran dapat diperolehi dan prestasi pembelajaran dapat dipertingkatkan.

Dalam artikel ini, beliau mempersoalkan cara yang terbaik dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang perlu diambil oleh setiap guru supaya proses P&P mencapai objektif pembelajaran dengan memberikan tiga situasi pembelajaran yang berlainan dengan menggunakan matapelajaran yang sama. Beliau menerangkan satu persatu cara P&P yang diambil oleh tiga guru tersebut dan kemudiannya, membuat perbandingan antara satu sama lain.

Daripada artikel tersebut, dapat dilihat bahawa terdapat kepelbagaian cara pendekatan pembelajaran yang dilakukan oleh tiga guru yang berbeza tetapi mengajar matapelajaran yang sama. Hasilnya, kita dapat melihat dengan jelas perbezaan cara P&P yang dilakukan oleh guru-guru tersebut dan kita dapat membuat perbezaan dan dapat melihat cara pendekatan mana yang dapat menarik perhatian pelajar dan seterusnya perlu ditekankan dalam supaya proses P&P mencapai objektifnya.

Daripada artikel tersebut, dapat dilihat bahawa guru yang pertama menjalankan proses P&P beliau dengan mengarahkan perlajar untuk mengambil nota penting tentang isi pelajaran dan di akhir setiap bab, pelajar akan diarahkan untuk menjawab soalan-soalan yang disediakan. Beliau juga menekankan perkara apa yang akan disoal semasa peperiksaan. Daripada senario pembelajaran ini, kita dapat lihat bahawa, guru pertama ini lebih menekankan tentang keputusan peperiksaan pelajar semata-mata. Guru tersebut langsung tidak mengaplikasikan konsep kepelbagaian dalam teknik pengajaran beliau. Walaupun guru tersebut peka tentang kepentingan pelajar untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tetapi tanpa adanya konsep kepelbagaian samada kepelbagaian cara pengajaran atau kurikulum pembelajaran ataupun arahan, objektif pembelajaran tersebut tidak akan tercapai.

Dalam senario kelas kedua, iaitu dalam kelas Mrs Baker, beliau mengajak pelajar untuk terlibat dalam perbincangan, kerja kumpulan serta memberikan kebebasan kepada pelajar untuk mengemukakan topik kegemaran tersendiri dalam sesi P&P. Beliau juga membawa pelajar untuk merasai sendiri bagaimana cara dan gaya hidup orang-orang Rom terdahulu dengan membawa contoh gambar-gambar sastera, arkitek dan bidang perundangan dalam bilik darjah untuk mendapatkan perhatian pelajar supaya dapat menumpukan perhatian dalam sesi P&P. Di sini kita dapat lihat bahawa, walaupun Mrs Baker menggunakan cara pendekatan pembelajaran yang agak berlainan daripada Mr Appelton, tetapi konsep kepelbagaian pelajar masih tidak dititik beratkan dalam bilik darjah beliau. Kemungkinan besar beliau cuba untuk mengaplikasikan kepelbagain arahan dalam sesi pembelajaran tetapi apa yang kita boleh lihat disini ialah, beliau lebih menekankan kepada kepelbagaian tugasan yang diberikan kepada pelajar dan bukan kepada penekanan konsep “curriculum differentiated” dan “differentiated instruction”. Oleh itu, guru ini juga gagal dalam mencapai objektif pembelajaran dan gagal mengaplikasikan konsep kepelbagaian.

Manakala, guru yang terakhir iaitu Ms Cassel, menekankan konsep kepelbagaian pelajar dalam sesi P&P beliau. Beliau bijak mencari dan mempelbagaikan cara pendekatan pengajaran supaya semua pelajar yang mempunyai tahap intelek yang berbeza dapat memahami dan seterusnya menguasai isi pelajaran yang diajar. Beliau menggunakan pelbagai kaedah seperti perbincangan kumpulan, mengajak pelajar untuk memberikan respon dan pendapat mereka dengan mengutarakan soalan-soalan, daripada tahap rendah sehingga soalan yang menguji minda pelajar supaya proses P&P lebih menarik. Beliau juga bijak untuk mengolah isi pelajaran dengan membuat perkaitan sejarah zaman dahulu dengan kehidupan zaman nenek moyang pelajar-pelajar tersebut termasuklah dengan kehidupan seharian pelajar. Kepelbagian cara yang diambil oleh Ms Cassel ini menunjukkan beliau memberikan penekanan terhadap konsep kepelbagaian pelajar dalam bilik darjah beliau. Dengan adanya aplikasi pembelajaran seperti ini, proses P&P akan mencapai objektif pembelajarnnya.
Menurut penulis (Carol Ann) konsep kepelbagaian kurikulum dan kepelbagaian arahan hanya akan tercapai sekiranya penglibatan pelajar dan tahap kefahaman pelajar diberikan penekanan dalam proses pembelajaran. Kedua-dua elemen ini sangat penting untuk dan saling bergantung antara satu sama lain untuk menjadikan proses P&P berjaya. Kita perlu tahu bahawa, setiap pelajar mempunyai tahap pemikiran dan kefahaman yang berbeza. Oleh itu kita sebagai pendidik haruslah sedar akan hakikat tersebut dan berusaha untuk mempelbagaikan cara pengajaran supaya semua individu mendapat manfaat daripadanya.

Kesimpulannya, kami setuju dengan pendapat penulis bahawa konsep kepelbagaian adalah mengenai kebijaksanaan seorang guru untuk mengetahui kelemahan pelajar dan mencari jalan penyelesaiannya dengan menggunakan kepelbagaian cara pengajaran dan kepelbagaian kurikulum pembelajaran. Hal ini supaya, pelajar terlibat secara aktif dalam proses P&P dan tahap kefahaman pelajar dapat ditingkatkan. 


No comments:

Post a Comment