Thursday, January 5, 2012

Kaedah Terus


Kaedah Terus  - Kemahiran Mendengar

 


            Kaedah ini telah diperkenalkan oleh Michell West dan Harald Palmer (1920-1935). Kaedah ini mengutamakan prinsip-prinsip mengajar berdasarkan psikologi kanak-kanak. Selain itu kaedah terus mempunyai persamaan dengan kaedah askar dan diplomat semasa Perang Dunia Kedua.   Tujuan kaedah ini adalah membolehkan kanak-kanak menguasai keempat-empat kemahiran bahasa secara berkesan dan membolehkan mereka menggunakan bahasa yang dipelajari dalam mesyurakat dan persekitarannya. Kaedah ini juga sangat sesuai digunakan dalam pengajaran bahasa kedua dan boleh disampaikan melalui empat asas iaitu (i) perhubungan secara langsung antara perkataan dengan benda atau ayat dengan fikiran atau sebaliknya; (ii) pengajaran harus dikaitkan dengan pengalaman-pengalaman yang telah sedia ada; (iii) harus timbulkan perasaan ingin tahu kanak-kanak melalui soalan-soalan yang telah dirancangkan ; dan (iv) pengajaran harus berpandu kepada lunas-lunas kanak-kanak mempelajari bahasa ibunda mereka.

Kebaikan Kaedah Terus

Kaedah terus sesuai untuk mempelajari bahasa kerana mempunyai persamaan dengan cara kanak-kanak menguasai bahasa ibunda mereka dan tidak menggunakan terjemahan. Pengajaran secara terus membantu memudahkan pencapaian murid-murid dan mereka dapat mengaplikasikan bahasa itu secara aktif seterusnya membolehkan mereka bertutur dengan cepat, lancar dan fasih.

Kelemahan kaedah Terus

Kaedah terus adalah lebih kompleks berbanding kaedah lain dalam menyampaikan makna perkataan terutama sekali  perkataan-perkataan yang abstrak. Oleh yang demikian, kaedah ini mengambil masa yang lama dan memerlukan guru terlatih khas dalam menyampaikannya. Selain itu, kelemahan kaedah ini meliputi kemungkinan berlakunya penerimaan mesej yang kurang tepat dan ini menyebabkan kurang penerimaan daripada murid-murid lantas menimbulkan kekeliruan sepanjang perlaksanaan P&P.
Bahan-bahan yang digunakan dalam kaedah terus adalah berbentuk bahan-bahan yang boleh dihafaz dan perbualan yang telah ditetapkan. Justeru, kemungkinan bahan-bahan yang digunakan tidak pratikal untuk perkembangan kebiasaan yang sistematik. Kaedah ini juga memberi manfaat atau faedah kepada murid-murid yang cerdik namun tidak bagi murid-murid yang lemah.

Teknik dan Penyampaian Kaedah Terus

Proses pertama dimulakan dengan menghubungkan murid-murid terus kepada bahasa yang hendak mereka pelajari. Mereka akan diperkenalkan dengan sistem bunyi bahasa itu. Disini, sebutan penutur jati dijadikan model dan pertuturannya diikuti dan ditiru oleh murid-murid. Misalnya, murid Melayu akan bertutur dalam Bahasa Melayu kepada murid bukan Melayu supaya mereka dapat memahami serta mempelajari istilah serta perbendaharaan kata yang betul.
Seterusnya, segala makna perkataan yang kurang difahami oleh murid akan diperjelaskan oleh guru dengan cara (i) mengaitkan perkataan atau ayat dengan benda yang sebenar ; (ii) mengaitkan perkataan-perkataan atau ayat-ayat dengan gambar , rajah-rajah, lukisan dan sebagainya ; (iii) menggunakan perkataan-perkataan seperti atau yang berlawanan ; (iv) dengan menggunakan aksi atau lakonan (khusus pada kata kerja); (v) dengan cara memberikan huraian atau bercerita ; dan (vi) dengan menjelaskannya dalam ayat-ayat dan sebagainya.
Proses berikut adalah pelajaran tatabahasa diajar secara induktif. Pola-pola ayat yang hendak diajar dilatihtubi dahulu sehingga murid-murid dapat menguasainya. Kemudian, bahan-bahan bacaan yang digunakan merupakan bahan-bahan yang berkaitan dengan latihan lisan yang ingin dilaksanakan.

Pengaplikasian Kaedah Terus dalam Penyediaan Rancangan Pengajaran

Berdasarkan Rancangan Pengajaran Harian Bahasa Melayu yang dibina, kaedah terus merupakan kaedah pengajaran yang dipilih dalam aktiviti ini. Seperti sedia maklum kaedah terus membantu penguasaan keempat-empat kemahiran bahasa murid-murid serta disampaikan melalui empat asas iaitu  
(i) perhubungan secara langsung antara perkataan dengan benda atau ayat dengan fikiran atau sebaliknya; 
(ii) pengajaran harus dikaitkan dengan pengalaman-pengalaman yang telah sedia ada; 
(iii) harus timbulkan perasaan ingin tahu kanak-kanak melalui soalan-soalan yang telah dirancangkan ; dan 
(iv) pengajaran harus berpandu kepada lunas-lunas kanak-kanak mempelajari bahasa ibunda mereka.


Menerusi langkah 1, kaedah terus diaplikasikan yang mana dalam langkah ini guru berbual dan bersoal jawab dengan murid mengenai ‘ Suasana Kampung’ .Kemudian, murid diberi peluang menceritakan pengalaman mereka berada di kampung. Antara contoh soalan yang diajukan meliputi :
·         Apa yang anda dapat lihat ketika berada di kampung?
·         Apakah perasaan anda ketika pulang kekampung?

Berdasarkan soalan yang diajukan, murid-murid akan menjawab berdasarkan pengalaman mereka. Oleh yang demikian kaedah terus lebih praktikal untuk digunakan dalam aktiviti ini.

            Dalam langkah dua  turut menggunakan  kaedah terus yang mana murid diminta membaca teks tentang suasana kampung. Setelah selesai membaca, murid yang memegang gambar atau ayat yang diberi akan kehadapan dan menampal kertas yang telah disediakan. Disini, pemegang gambar perlu bijak menyuaipadankan gambar yang dipegang mengikut kesesuaian ayat yang didengar. Berdasarkan aktiviti ini jelas, murid berhubungan secara langsung antara perkataan dengan benda atau ayat dengan fikiran atau sebaliknya. Disamping, mewujudkan perasaan ingin tahu kanak-kanak melalui soalan-soalan yang telah dirancangkan.

No comments:

Post a Comment