Sukan untuk Semua (Sukan Massa)
Sukan untuk semua bertujuan untuk mengekalkan dan meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia. Sukan Massa adalah merujuk kepada aktiviti-aktiviti sukan yang berlaku secara menyeluruh atau diuruskan dengan tujuan untuk menggalakkan penyertaan yang lebih luas dan bukan semata-mata untuk pertandingan di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.
Apakah itu Pergerakan Sukan untuk Semua?
Pergerakan Sukan Untuk Semua (Sukan Massa) adalah satu kempen sosial secara sistematik dan menyeluruh untuk memelihara, mengubah atau memperbaiki kekurangan-kekurangan dalam sesuatu sistem sosial. Sukan Massa merupakan usaha untuk melibatkan masyarakat dalam sukan secara sukarela dan memanjangkan kepada semua lapisan dalam masyarakat. Sukan Massa juga
bertujuan menyedarkan masyarakat terhadap faedah-faedah sukan kepada pembangunan kesihatan, sosial, psikologi, pendidikan dan kebudayaan. Oleh itu Sukan Untuk Semua (Sukan Massa) adalah satu usaha menggalakkan penglibatan sukan dan aktiviti fizikal kepada rakyat Malaysia. Sukan Untuk Semua (Sukan Massa) bertujuan membentuk masyarakat Malaysia yang cergas dengan mengamalkan nilai-nilai sukan tradisional dan moden. Dengan kata lain Sukan Untuk Semua (Sukan Massa) adalah untuk membentuk satu masyarakat Malaysia yang sihat secara menyeluruh dan membina satu masyarakat bersatu-padu, persahabatan, aman dan sejahtera untuk semua manusia di dunia.
Konsep
Sukan Untuk Semua (Sukan Massa) merupakan satu idea untuk memasyarakatkan sukan. Dengan kata lain Sukan Massa mengajak seluruh lapisan masyarakat mengambil bahagian di dalam kegiatan sukan, rekreasi dan kecergasan. Penyertaan ini juga perlu dilakukan secara berterusan sepanjang hayat hingga menjadikannya suatu gaya hidup.
Aktiviti-aktiviti Sukan Untuk Semua (Sukan Massa) terdiri daripada berbagai aktiviti contohnya :
sukan, (bola sepak, badminton, sepak takraw dan lain-lain),
kecergasan, (jogging, berjalan kaki, taichi dan lain-lain),
outdoor (mendaki, berkeno, berkhemah dan mengembara).
Kegiatan sukan boleh merangsang pembinaan suatu masyarakat yang cergas dan proaktif di samping merupakan suatu alat yang berkesan ke arah perpaduan dan semangat cintakan negara. Sukan Untuk Semua (Sukan Massa) menyokong kepada prinsip-prinsip am pendidikan sepanjang hayat.
Matlamat
Sukan Untuk Semua (Sukan Massa) melalui konsep Malaysia Cergas adalah bermatlamat untuk menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat Malaysia tentang pentingnya kesihatan yang boleh dipupuk melalui kegiatan fizikal dan rekreasi. Kesedaran ini akan menimbulkan minat dan akan terus dipupuk melalui pendidikan sukan. Langkah ini akan merangsang lagi penyertaan dalam kegiatan
sukan, rekreasi dan kecergasan. Pergerakan Sukan Untuk Semua (Sukan Massa) juga ingin membentuk satu imej Nasional yang akan menjadikan masyarakat Malaysia sebagai suatu bangsa 'peserta' dan bukannya 'penonton'.
No comments:
Post a Comment