Saturday, June 4, 2011

PENGENALAN KEPADA PENGURUSAN PENDIDIKAN JASMANI DAN SUKAN

1.0 PENGENALAN

Pengelolaan dan pentadbiran pendidikan  jasmani  dengan  sukan  adalah  bidang yang berlainan sama sekali. Pengelolaan pendidikan  jasmani  mengutamakan unsur  pendidikan.  Aktiviti  pendidikan jasmani  merupakan subjek  akademik disekolah-sekolah  dan  mempunyai kurikulum yang terancang dan teratur.
Aktiviti  sukan  pula  tertumpu  kepada segala  aspek  dari mengelola, menyertai pertandingan  dan  permainan  serta mengelola  dan  melatih  pasukan  untuk pertandingan yang lebih formal.

1.1 KONSEP DAN DEFINISI PENGURUSAN


Menurut  kamus  dewan  pengurusan  didefinisikan  sebagai  pengarahan  dan  pengawalan, pengelolaan, penyelenggaraan. Dengan kata  lain pengurusan sukan, pendidikan  jasmani boleh di definisikan sebagai  sebarang gabungan kemahiran-kemahiran berkaitan dengan pentadbiran,  perancangan,  pengelolaan,  pengarahan,  pengawalan,  pengurusan  bajet, kepemimpinan  dan  penilaian  dalam  konteks  perkhidmatan  berkaitan  dengan  sukan  dan pendidikan jasmani.
Di antara fungsi pentadbiran dan pengelolaan pendidikan jasmani dan sukan ialah
(a) Merancang
(b) Menyediakan bajet
(c) Mengawal
(d) Mengarah
(e) Mengelola
(f) Menyediakan jadual pertandingan
(g) Membuat keputusan
(h) Menilai

Untuk  mencapai  kejayaan  dalam  sesebuah  pentadbiran  dan  pengelolaan  pendidikan jasmani dan sukan. Terdapat tiga elemen utama yang perlu diberi perhatian iaitu:-
(a)  Persediaan profesional
(b)  Sikap profesional
(c)  Perkembangan profesional

Jika ketiga-tiga elemen ini dapat dikuasai oleh individu, persatuan dan badan pentadbiran dan pengelolaan pendidikan jasmani dan sukan. Kemajuan pentadbiran dan pengelolaan pendidikan jasmani dan sukan akan Memperolehi kecemerlangan dan kegemilangan.


1.1.1 Pengurusan Pendidikan Jasmani

Pendidikan  jasmani merupakan  satu  proses  yang  bermatlamat  untuk mempertingkatkan kemampuan  kecergasan  dan  nilai  seseorang  individu melalui  pendekatan  aktiviti  fizikal. Pendidikan  jasmani  (PJ)  juga  merupakan  satu  proses  pembelajaran  yang  menyeluruh yang merangkumi  semua  aspek  domain  seperti  psikomotor,  kognitif,  afektif,  sosial,  dan emosi. Melalui Pendidikan jasmani (PJ) pelajar akan diberi ruang untuknya mencuba dan mengalami sendiri pengalaman semua aktiviti  fizikal yang dijalaninya. Secara  ringkasnya Pendidikan  jasmani  (PJ) adalah merupakan  satu bentuk pembelajaran  yang holistik dan
berupaya membangunkan pelajar dari pelbagai aspek dan dapat menghasilkan kejayaan kepada satu kumpulan pelajar (Colfer, 1986)

Oleh yang demikian pendidikan  jasmani boleh didefinisikan sebagai mata pelajaran yang menumpukan  penekanan  terhadap  proses  pembelajaran  dan  pengajaran  insani melalui aktiviti  fizikal  yang menyumbang  ke  arah  pertumbuhan  mental,  fizikal,  sosial, pembentukan  nilai  dan  emosi.  Pendidikan  jasmani  juga  bertujuan  untuk  menjadikan pelajar lebih sihat, cergas dan produktif melalui pemupukan dan nilai, sikap, pengetahuan dan amalan kesihatan dan kecergasan dalam kehidupan seharian.
Pengelolaan dan pentadbiran Pendidikan Jasmani  adalah bagaimana kita mentadbir dan menguruskan  mata  pelajaran  pendidikan  jasmani  supaya  mata  pelajaran  ini  dapat dilaksanakan atau di ajar dengan berkesan serta mencapai objektif yang di harapkan.


(a) Kurikulum Pendidikan Jasmani di Malaysia
Pendidikan jasmani merupakan mata pelajaran teras di sekolah-sekolah di Malaysia. Mata  pelajaran pendidikan  jasmani  diajar  selama  11  tahun  dalam  sistem persekolahan di Malaysia. Kurikulumpendidikan  jasmani merangkumi aspek-aspek kemahiran sukan, rekreasi, pendidikan sukan serta kesihatan.
Kurikulum  Pendidikan  Jasmani  di  Malaysia  digubal  untuk  memenuhi  keperluan pertumbuhan  dan  perkembangan  individu  bagi  membentuk  masyarakat  yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Kurikulum ini dibahagikan kepada  tiga  tunjang  pembelajaran  iaitu  Kecergasan,  Kemahiran  dan  Kesukanan.
Tiga tunjang ini membantu mencapai matlamat dan objektif Pendidikan Jasmani.  Bagi  membentuk  penghayatan  yang  tinggi  terhadap  mata  pelajaran  pendidikan jasmani,  pelajar  perlu  memahami  dan  menghayati  pengetahuan,  kemahiran  dan pengalaman  pendidikan  jasmani  ke  arah  membentuk  masyarakat  Malaysia  yang mengamalkan  gaya hidup sihat. Kurikulum Pendidikan Jasmani yang terancang dan persekitaran yang kondusif dapat menggalakkan pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan potensi pelajar ke tahap optimum.
 
(b) Objektif Kurikulum Pendidikan Jasmani
Objektif utama kurikulum pendidikan jasmani ialah:
     (i)  Mempertingkat  dan  mengekalkan  kecergasan  berasaskan  kesihatan  dan perlakuan motor
    (ii)  Menguasai kemahiran asas pergerakan dan permainan mengikut kemampuan diri
    (iii)  Melakukan senaman dan aktiviti fizikal sebagai rutin harian
    (iv)  Mengaplikasikan pengetahuan kesihatan dan keselamatan semasa menyertai pelbagai kegiatan fizikal
    (v)  Membentuk sahsiah dan disiplin diri dan
   (vi)  Membuat keputusan bijak dalam kehidupan
(Sukatan Pelajaran, Pendidikan Jasmani, 1999) 

Aktiviti pendidikan  jasmani yang dilaksanakan di sekolah adalah merupakan aktiviti yang  terancang  dan  berupaya  memberi  ruang  persekitaran  yang  baik  bagi membantu  murid  menghayati  kepentingan  kecergasan  dan  penjagaan  kesihatan.
Oleh  yang  demikian  guru  perlu  sentiasa  memahami  matlamat  utama  pendidikan jasmani iaitu:

“Pendidikan  jasmani  adalah  bertujuan  membantu  murid  menjadi  cergas  melalui 
pembelajaran aktiviti fizikal dan amalan kecergasan” 

            (Pusat Perkembangan Kurikulum, 1999)

Berdasarkan  objektif  pendidikan  jasmani  yang  bertujuan  untuk  mencapai  tahap kecergasan  dan  menguasai  kemahiran  sukan.  Objektif  boleh  tercapai  dengan memberi  tumpuan  khusus  kepada  hubungan  antara  amalan  kesihatan  dengan kecergasan fizikal dan kemahiran motor. Kaedah ini dilihat mampu untuk mengawal penyakit dalam kehidupan seharian.  
Objektif  dan  matlamat  Falsafah  Pendidikan  Negara  yang  berhasrat  untuk menghasilkan  insan  yang  seimbang  dari  segi  rohani,  jasmani,  emosi,  intelek  dan sosial maka melalui pendidikan jasmani kesemua aspek ini boleh dicapai. Ini adalah berdasarkan keperluan dan inspirasi yang telah dinyatakan di dalam Buku Panduan Guru PJK (1988). 

(c) Organisasi
Pendidikan  jasmani  merupakan  disiplin  pendidikan  oleh  itu  di  sekolah  pendidikan jasmani  mempunyai  ketua  panitia  dan  di  bawah  kuasa  guru  penolong  kanan akademik

Pengetua/Guru Besar ---->Penolong Kanan (Akademik ) ----> Ketua Panitia ----> Setiausaha ---->Ahli-ahli (Guru-guru yang mengajar pendidikan jasmani) 


(d) Bidang Kuasa Ketua Panitia Pendidikan Jasmani
(i)  Menjadi ahli jawatankuasa mesyuarat kurikulum sekolah 
(ii)  Mempengerusi mesyuarat  panitia pendidikan jasmani 
(iii)  Memastikan  rancangan  tahunan  pendidikan  jasmani  tersedia  untuk digunakan
(iv)  Mengagih dan menyimpan sukatan pelajaran pendidikan jasmani 
(v)  Menyediakan perancangan tahunan panitia 
(vi)  Memantau pengajaran pendidikan jasmani 
(vii)  Memeriksa buku latihan pelajar 
(viii)  Merancang pembelian alatan untuk panitia 
(ix)  Menyediakan anggaran perbelanjaan panitia 
(x)  Merancang latihan dalaman


(e) Perancangan Belanjawan
Perancangan  belanjawan  ialah  pelan  dan  sistem  perbelanjaan  yang  sistematik. Ketua  panitia  pendidikan  jasmani  perlu  menyediakan  perancangan  belanjawan tahunan.  Ketua  panitia  perlu  menyenaraikan  atau  menyusun  item  mengikut kepentingan.  Perancangan  belanjawan  bergantung  kepada  peruntukan kewangan pendidikan jasmani.



 Bil Murid                         ------------------>                        Peruntukan
Kurang daripada 100 Orang                                                       RM 300.00
101-250 Orang                                                 RM 300.00(minimum) Rm2.80/seorang (selepas 100 0rang) 
251-500 Orang                                                RM 720.00(minimum) Rm2.60/seorang   (selepas 250 0rang)
501-750 Orang                                                RM 1370.00(minimum) Rm2.40/seorang (selepas 500 0rang)
751-1000 Orang                                              RM 1970.00(minimum) Rm1.80/seorang (selepas 100 0rang)
1001 Orang atau lebih                                      RM 2420.00(minimum) Rm1.00/seorang (selepas 100 0rang)




(f) Pengurusan Stor Pendidikan Jasmani
Stor pendidikan jasmani merupakan bilik yang digunakan untuk menyimpan barang-barang  pendidikan  jasmani.  Stor  yang  di  susun  kemas  dan  teratur  akan menyenangkan  guru  pendidikan  jasmani  untuk  menyimpan  dan  mengeluarkan peralatan pendidikan  jasmani. Barangan pendidikan  jasmani  kerap digunakan atau dikeluarkan untuk proses pengajaran dan pembelajaran pendidikan  jasmani.   Oleh itu  Penyelenggaraan  sebuah  stor  pendidikan  jasmani memerlukan  kerjasama  dari semua pihak termasuk pentadbir, guru-guru dan murid-murid. 

Ciri-ciri stor pengurusan stor pendidikan jasmani 
(i)  Biasanya  ketua  panitia  bertanggungjawab  untuk  menyelia  stor  pendidikan jasmani.
(ii)  Guru  penyelia  stor  bertanggungjawab  perlulah  menyediakan  buku  stok  bagi alatan stor dengan    
       kemas kini. 
(iii)  Guru penyelia stor bertanggungjawab menerima dan membeli peralatan baru 
(iv)  Buku  catatan  barang  keluar  masuk  perlu  di  sediakan  bagi  merekodkan pergerakan alatan. 
(v)  Guru  penyelia  stor  bertanggungjawab membuat  pemeriksaan  stok  sekurang-kurangnya sekali setahun. 
(vi)  Peraturan stor sukan perlulah di rangka dan dilaksanakan. 




Keperluan Bilik Stor Pendidikan Jasmani 

(i) Ruang
Ruang  untuk  menyimpan  peralatan  yang  ada  mestilah  boleh  menampung keperluan alatan di samping  tidak merosakkan alatan. Saiz yang sesuai untuk stor  pendidikan  jasmani  ialah  lebih  kurang  300  kaki  persegi.  Saiz  stor pendidikan  jasmani  bergantung  kepada  tiga  perkara  jenis  dan  jumlah  alatan 
yang disimpan jenis sekolah dan saiz sekolah.  

(ii) Rak
Bagi  mengoptimumkan  ruang  penyimpanan  rak  perlulah  dibina  di  stor pendidikan jasmani. Rak yang di bina perlulah bersesuaian dengan saiz barang yang  hendak  di  susun.  Barang  yang    disusun  hendaklah  dalam  kedudukan teratur  dan  senang  di  capai.  Ini  bertujuan  untuk  menyenangkan  proses 
menyimpan dan mengambil barang. 

(iii)  Lokasi
Lokasi  yang  sesuai  bagi  stor  pendidikan  jasmani  ialah  di  bangunan  yang berhampiran dengan padang.  Ini bertujuan bagi mengelakkan masa  terbuang dalam proses menyimpan dan mengambi barang. Kita  juga perlu memastikan lokasi  stor  sukan  tidak  terpencil  sehingga  memudahkan  pencuri  memecah masuk stor pendidikan jasmani.

(iv) Tingkap
Tingkap  stor  sukan  sekiranya  besar  akan  menyebabkan  cahaya  matahari masuk.  Keadaan  yang  panas  akan menyebabkan  alat  yang  dibuat  dari  kain yang di tenun, alat-alat  kulit dan alat-alat yang tahan panas akan rosak.

(v)  Siling
Siling  biasa  bagi  bangunan  antara  8  hingga  12  kaki,  ketinggian  siling bergantung  kepada  alatan  yang  hendak  kita  simpan.  Sekiranya  kita  hendak menyimpan  galah  panjang,    tinggi  stor  perlulah mempunyai  ketinggian  yang sesuai.

(vi) Peredaran Udara
Peredaran  udara  perlu  bagi  memastikan  barang  yang  tahan  lama  dan mengelak  bau  yang  tidak  menyenangkan  dalam  stor  pendidikan  jasmani. 
Tingkat kecil atau ruang udara perlu di sediakan di bilik stor pendidikan jasmani bagi membenarkan pengaliran udara. 

(vii) Keselamatan
Berbagai  langkah  keselamatan  perlu  di  ambil  bagi  menjamin  keselamatan alatan dan pengguna. Antara yang harus kita fikir dan pastikan ialah: 
 􀁸  Bangunan  yang  ditempatkan  stor  sukan  kukuh  untuk  mengelak  di cerobohi.

􀁸  Susun alat berdasarkan keselamatan contohnya alat yang berat perlulah di susun di bahagian bawah rak           
     simpanan. 
􀁸  Alatan  yang  tajam  perlulah  di  susun  secara menegak  dengan  bahagian 
     yang tajam menghala ke bawah. 
􀁸  Memastikan alatan yang di buat dari  logam seperti  lembing dan  lain-lain 
      dalam keadaan kering sebelum di simpan bagi mengelak karat. 
􀁸  Memastikan  tiada  alat  yang  bersepah  di  lantai  bagi menggelakkan  kita terpijak yang boleh 
      menyebabkan kecederaan kepada kita. 
􀁸  Memastikan  stor  pendidikan  jasmani  tidak  sesak  ketika mengambil  dan memulangkan  alatan.  
     Gunakan  sistem  membenarkan  pelajar  tertentu sahaja yang mengambil barang dan pelajar yang lain   
      tunggu di luar.  
􀁸  Memastikan alatan yang di buat dari kayu seperti  kayu hoki dan lain-lain dalam keadaan kering sebelum 
      di simpan bagi mengelak reput. 
􀁸  Peraturan  mengambil  barang  dan  memulangkan  barang  perlulah  di perkenalkan dan di kuat kuasa. 
􀁸  Memastikan stor sentiasa kemas dan teratur 
􀁸  Menyediakan  alatan  seperti  kereta  sorong  bagi  memudahkan pemindahan barang secara pukal. 

(viii) Pintu
Saiz  pintu  stor  sukan  bergantung  jenis  barang  yang  hendak  disimpan. 
Contohnya  jika  kita  ingin menyimpan  alat  yang  lebar  dan  tinggi  seperti  tilam lompat  tinggi,  pintu  stor  pendidikan  jasmani  perlulah  lebar  dan  tinggi.  Pintu yang tidak sesuai mungkin menyebabkan kerosakan kepada alat-alat dan juga boleh mencederakan murid. Pintu perlu di lengkapi dengan alatan keselamatan 
dan  dibina  dengan  kukuh  supaya  barang  pendidikan  jasmani  boleh  di  kawal dan mengelak stor dari di cerobohi dengan mudah. 

(g) Penjagaan Peralatan
Penyalahgunaan  alatan  pendidikan  jasmani  adalah  penyebab  utama  alatan pendidikan jasmani mudah rosak. Memandang keadaan di sekolah sekarang kurang guru pendidikan jasmani, kebanyakan guru-guru yang mengajar pendidikan jasmani bukan lulusan pendidikan jasmani.  
Sebagai  ketua  panitia  kita  perlu  memberi  penerangan  tentang  penyalah  gunaan alatan  oleh  pelajar  yang  akan  menyebabkan  barang-barang  pendidikan  jasmani rosak. Antara penyalahgunaan tersebut ialah: 
   (i)  Duduk di atas bola 
  (ii)  Menyepak  bola  yang  bukan  bola  sepak  seperti  bola  tampar,  bola  jaring  dan lain-lain
  (iii)  Mengetuk-getuk alatan seperti kayu hoki, baton dan lain-lain 
  (iv)  Mengheret  barang-barang  yang  di  buat  dari  kanvas  atau  kain  atau  material yang lembut   
         contohnya tilam lompat tinggi dan lain-lain. 


1.1.2 Pengurusan Sukan

Sukan  juga  bermaksud  aktiviti  yang  dipertandingkan  mengikut  peraturan  dan  undang-undang  yang  telah  ditetapkan  oleh  satu  badan  persekutuan  sukan  antarabangsa. 
Ringkasnya  sukan merupakan  bentuk  permainan  yang  di  kelolakan  dengan  teratur  dan mempunyai  unsur  pertandingan.  Sukan  perlu  mempunyai  unsur  pertandingan,  tanpa pertandingan  aktiviti  fizikal  itu  lebih  dikenali  sebagai  permainan  atau  rekreasi.  Sukan melibatkan perancangan, kemahiran motor dan strategi.  
Dari  aspek  psikologi  sukan  juga  boleh  disamakan  dengan  sesuatu  aktiviti  yang menyeronokkan  dan dewasa  ini  merupakan  sebahagian  kerjaya  profesional  yang melibatkan keupayaan fizikal dan mental yang tinggi. Dengan kata lain sukan merupakan suatu  aktiviti  yang  boleh  memberi  keseronokan,  kemewahan  dan  kebanggaan  kepada setiap  individu yang menceburkan diri ke dalamnya. Selain daripada meraih keuntungan dari aktiviti sukan.
Dari  aspek  afektif  sukan  yang  beretika  akan memberi  ruang  kepada masyarakat  untuk berinteraksi  dan  bergembira.  Bersukan  dapat  mengerat  perhubungan  sosial, membanteras  kegiatan-kegiatan  kurang  sihat  dan  membina  masyarakat  yang  cergas. Memandangkan  kepentingan  sukan  kepada masyarakat  dan  negara,  di Malaysia  sukan sentiasa    berkembang  selaras  dengan  pembangunan  negara  dan  sentiasa  di  pandang serius oleh pemimpin masyarakat.  
Di  Malaysia  sukan  biasanya  ditadbir  oleh  badan–badan  amatur  dan  profesional. Kementerian yang bertanggungjawab mengelola dan mentadbirkan persatuan sukan ialah Kementerian  Belia  Dan  Sukan.  Sementara  Majlis  Sukan  Negara  adalah  badan  yang bertanggungjawab menyelaras badan-badan sukan di bawah naungannya. Dasar Sukan Negara yang di perkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia pada 20 Januari 1988,  membuktikan  pengiktirafan  kerajaan  terhadap  kemajuan  sukan  negara.  Dasar 
sukan digubal dengan hasrat mewujudkan masyarakat Malaysia yang sihat dan cergas. 

(a) Dasar Sukan Negara
Dasar Sukan Negara merupakan dokumen yang sentiasa menjadi  rujukan   ke arah perkembangan,  kemajuan  dan  pembangunan  sukan  negara.  Dasar  sukan  digubal hasil kerjasama dan perbincangan yang melibatkan beberapa pihak seperti agensi-agensi  kerajaan  dan  bukan  kerajaan,  pertubuhan-pertubuhan  sukan  rekreasi  dan kecergasan,  majlis-majlis  sukan,  institusi  pengajian  tinggi,  badan-badan  sukarela 
dan  orang  perseorangan  yang  mempunyai  kepakaran  dan  kepentingan  dalam bidang sukan. 

(b) Rasional Dasar Sukan Negara
Rasional Dasar Sukan Negara  ialah  ke arah menjadikan  sukan  sebagai alat untuk menerapkan nilai moral dan membentuk masyarakat yang sihat jasmani dan rohani. Manfaat  Dasar  Sukan  Negara  boleh  dilihat  dari  aspek  sumbangan  sukan  kepada individu, masyarakat dan negara. 

(c) Peringkat Individu
(i)  Membentuk  sahsiah,  memberi  kesedaran  dalam  diri  individu  dan membangkitkan semangat 
     pertandingan yang sihat. 
(ii)  Meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan fizikal diri. 
(iii)  Dapat menggunakan masa senggang dengan aktiviti yang bermanfaat 
(iv)  Dapat menenangkan fikiran dan mengurangkan tekanan hidup. 
(v)  Interaksi sosial yang baik. 
(vi)  Mengasah kemahiran-kemahiran asas. 
(d) Peringkat Masyarakat
(i)  Merangsang pembinaan masyarakat yang mempunyai kualiti kesihatan fizikal dan moral yang baik 
      bersesuaian dengan aspirasi nasional. 
(ii)  Mewujudkan suasana yang kondusif untuk memupuk perhubungan komuniti yang lebih baik dalam 
       pelbagai kumpulan etnik dalam negara. 
(iii)  Meningkatkan  tahap  kesihatan  masyarakat  dan  seterusnya  merangsang peningkatan produktiviti 
        negara. 
(iv)  Mengurangkan  kadar  jenayah  dengan  merangsang  masyarakat memanfaatkan masa lapang dengan 
      aktiviti berguna. 
(e) Peringkat Antarabangsa
(i)  Mencapai kecemerlangan di peringkat tertinggi. 
(ii)  Meningkatkan maruah bangsa dan negara di persada sukan antarabangsa. 
(iii)  Memupuk persahabatan. 
(iv)  Menjadikan sukan sebagai satu industri yang mempunyai nilai-nilai komersial yang tinggi. 





Objektif Dasar Sukan Negara
Antara objektif dasar sukan negara ialah: 
(a) Membentuk masyarakat yang sihat, berdisiplin dan bersatu padu melalui penyertaan yang  meluas  dan  
      peluang  yang  lebih  baik  dalam  sukan  di  semua  peringkat masyarakat.
(b) Menyediakan  peluang-peluang  dan  kemudahan-kemudahan  bagi  memenuhi keperluan asasi sosial, 
      psikologi dan fisiologi individu melalui sukan. 
(c) Membangun  dan meningkatkan  pengetahuan  dan  amalan  sukan  bagi  kepentingan kebajikan sosial 
     individu dan kenikmatan masa senggang di kalangan orang awam. 
(d) Mencapai kecemerlangan dengan semangat kesukanan yang  tulen di pertandingan peringkat kebangsaan 
      dan antarabangsa dengan harapan muhibah dan imej negara dapat dipertingkatkan. 

Strategi dan Pelaksanaan Dasar

Objektif-objektif  dasar  ini  dapat  dicapai  dengan memberi  penekanan  pada  aspek-aspek yang berikut : 
(a) Perancangan
Pertubuhan-pertubuhan  sukan  perlulah  merancang  program-program  jangka panjang dan mempunyai struktur yang baik untuk pembangunan ahli sukan, jurulatih, pentadbir dan pegawai sukan. Dalam merancang program-program  jangka panjang untuk sukan prestasi tinggi, perkara-perkara yang berikut perlu dipertimbangkan: 
- Jenis sukan yang lebih maju dari aspek kemudahan dan penyertaan sedia ada. 
- Jenis sukan yang sesuai dengan bentuk fizikal masyarakat Malaysia. 

(b) Organisasi
Hasil daripada kerjasama antara pelbagai badan sukan dengan kerajaan dilihat akan membuahkan satu program yang bersepadu ke arah kemajuan sukan di negara ini. Satu jawatankuasa ditubuhkan bertujuan mengarahkan hubungan yang lebih rapat di kalangan  organisasi-organisasi  sukan,  swasta  dengan  kerajaan.  Majlis  Sukan Negara  (MSN)  bertugas  menyediakan  jentera  ini  bagi  sukan  berprestasi  tinggi. 
Kementerian  Belia  dan  Sukan  perlu  mewujudkan  mekanisme  ini  untuk menyelaraskan program Sukan Untuk Semua  (Sukan Massa). Mekanisme  ini perlu menggalakkan Sukan Untuk Semua (Sukan Massa) dan aktiviti-aktiviti rekreasi yang berlandaskan konsep MALAYSIA CERGAS di kalangan rakyat Malaysia.  
MALAYSIA  CERGAS merupakan  satu  program  yang  berdasarkan  kepada  konsep sukan untuk semua. Melalui program ini masyarakat mengamalkan gaya hidup yang aktif  melalui  penyertaan  dalam  aktiviti-aktiviti  sukan  dan  rekreasi  fizikal.  Tema  ini menekankan  kecergasan  fizikal  dan  kesihatan  mental  ke  arah  peningkatan produktiviti  dan  mengukuhkan  perhubungan  sosial  dan  perhubungan  antara kumpulan etnik.
Kementerian  Pendidikan  Malaysia  pula  memainkan  peranan  dengan memperuntukkan masa yang cukup untuk mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan kokurikulum  di  sekolah.  Selain  itu,  Bahagian  Pendidikan  Guru dipertanggungjawabkan  melatih  guru-guru  yang  berkebolehan  mengajar  mata pelajaran  Pendidikan  Jasmani  di  sekolah-sekolah.  Di  institusi  pengajian  tinggi,aktiviti-aktiviti sukan juga digalakkan di kalangan siswa. Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan  (MAKSAK)  berperanan menggalak  dan menyelaraskan semua aktiviti sukan di dalam pelbagai perkhidmatan awam. Majlis Olimpik Malaysia 
(MOM)  merupakan  badan  induk  kepada  semua  persatuan  sukan  kebangsaan. Tanggungjawab  utama  ialah  menggalakkan  sukan  di  kalangan  rakyat  untuk pergerakan  Olimpik.  MOM  bekerja  rapat  dengan  MSN  dalam  hal  pemilihan  dan latihan atlet untuk pertandingan peringkat antarabangsa. 

(c) Personel
Badan-badan sukan di semua peringkat hendaklah melantik personel bertauliah dan berpengalaman bagi merancang, melaksana dan menilai program sukan. Keperluan mempunyai  jurulatih  telah  merangsang  Majlis  Sukan  Negara  mewujudkan  skim persijilan kejurulatihan sukan kebangsaan. 

(d) Kewangan
Yayasan  sukan  kebangsaan membiayai  kegiatan-kegiatan  sukan  berprestasi  tinggi dan  sukan massa. Sumber  kewangan  yayasan  sukan diperolehi daripada  kerajaan persekutuan,  kerajaan  negeri,  sektor  korporat  dan  individu.  Dalam  usaha menggalakkan sumbangan kewangan dan material dari sektor swasta dan  individu, kerajaan  telah  membuat  keputusan  segala  sumbangan  dikecualikan  dari  cukai. 
Persatuan-persatuan  juga  perlu mempertingkatkan  usaha  dan  strategi  pemasaran aktiviti mereka untuk mendapat sumbangan bagi membiayai kegiatan persatuan.   

(e) Insentif
Pegawai-pegawai  sukan  dan  ahli-ahli  sukan  yang  mewakili  negara  dan mengharumkan nama negara perlu diberi pengiktirafan dan  insentif  .  Insentif boleh diberi  dalam    berbagai  berbentuk  contohnya  peluang  memasuki  IPTA,  biasiswa, penganugerahan, cuti, elaun sara hidup, perlindungan  insurans, perbelanjaan untuk latihan dan yuran pendidikan.  

(f) Kemudahan
Kementerian  Belia  dan  Sukan  bertanggungjawab  untuk  menyediakan  kemudahan bagi  sukan massa,  sukan  berprestasi  tinggi  dan  sukan  untuk  golongan  istimewa. Persatuan  sukan  bertanggungjawab  menyelaras  perancangan  dan  agihan kemudahan  sukan.  Di  peringkat  negeri,  kerajaan  negeri menyediakan  kemudahan sukan untuk negeri masing-masing. Sektor-sektor korporat dan badan sukarela juga di galakan memainkan peranan dengan aktif bagi melengkapi usaha kerajaan dalam pembinaan kemudahan-kemudahan sukan. 

(g) Am
Kerajaan  Malaysia  sentiasa  berusaha  bersungguh-sungguh  ke  arah  membentuk budaya sukan kepada  rakyat Malaysia. Di antara usaha yang dirintis oleh kerajaan ialah mengurangkan  cukai-cukai  dan  eksais  ke  atas  peralatan  sukan  supaya  lebih ramai  orang mampu membeli  alatan  sukan  pada  harga  yang murah. Galakkan  ini secara  tidak  langsung merangsang  lebih  ramai penduduk negara  ini melibatkan diri 
dalam  sukan.  Pengusaha-pengusaha  tempatan  juga  perlu  diberi  galakan  untuk menghasilkan  peralatan-peralatan  sukan  yang  berkualiti  dan  diterima  di  peringkat antarabangsa.
Kementerian  Pelajaran  Malaysia  telah  membina  beberapa  buah  sekolah  khas sebagai  pusat kecemerlangan  untuk menggalakkan  pembangunan  beberapa  jenis sukan  tertentu  seperti  Sekolah  Sukan  Bukit  Jalil  dan  Sekolah  Sukan  Bandar Penawar  serta  pusat  tunas  cemerlang  di  setiap  negeri.  Institut  Sukan  Negara memainkan  peranan  dalam  penyelidikan  dan  pembangunan  sukan  di  negara  ini. 
Kerjasama  daripada  media  massa  dan  pelbagai  organisasi  diperlukan  untuk menyebarkan dapatan penyelidikan dan mempromosikan sukan. 

Dasar Sukan Negara yang  telah digubal dan di perkenalkan pada 20 Januari 1988 merupakan  satu  dasar  sukan  untuk  semua  bentuk  rakyat  Malaysia.  Dasar  ini merangkumi dua komponen iaitu: 
sukan untuk semua dan sukan prestasi tinggi.  

No comments:

Post a Comment