Pentadbiran
dan pengurusan di sekolah adalah berkait dengan bidang kepemimpinan. Guru besar
adalah orang yang memainkan peranan penting dalam melaksanakan tugas dalam
bidang pentadbiran di sekolah. Guru besar adalah pentadbir, pengurus dan yang
lebih besar di situ adalah seorang pemimpin. Sebagai seorang pentadbir yang
melibatkan diri dalam pentadbiran pendidikan, maka ia perlu kepada proses
kerjasama di antara dua orang atau lebih yang berasaskan kepada rasional yang
tertentu untuk mencapai tujuan yang telah ditentukan sebelumnya. Pentadbiran
secara amnya tertumpu kepada hal-hal yang sebahagian besar berhubung dengan
pembahagian kerja dan penyelarasan perhubungan untuk melahirkan kecekapan dalam
organisasi. Konsep sesebuah pentadbiran, tidak akan lari daripada aspek
kesepakatan. Tanpa melibatkan proses kerjasama, maka pentadbiran dalam erti
kata sebenar tidak akan berlaku di sekolah.
Namun, sebagai orang bertanggungjawab
sebagai pentadbir dan pengurus di sebuah organisasi sekolah pastinya mempunyai
cabarannya dan berhadapan dengan pelbagai masalah semasa menjalankan
kerja-kerja pentadbiran di sekolah. Masalah yng dihadapi biasanya meliputi
banyak aspek dan faktor dibawahnya. Sebagai seorang pentadbir, dia perlu tahu
semua perkara yang yang berlaku di sekolah dan bertanggungjawab untuk semua hal
yang berlaku. Masalah yang biasa dihadapi oleh golongan pentadbir termasuklah
disiplin guru yang berada dibawahnya, masalah keselamatan, perjalanan kewangan
sekolah, kemudahan dan infrastruktur, PIBG dan lain-lain lagi.

Masalah yang melibatkan guru biasanya
adalah masalah seperti guru yang datang lewat ke sekolah atau enggan dan lambat
masuk ke kelas untuk memulakan pengajaran. Walaupun telah beberapa kali ditegur
oleh guru besar dan pihak pentadbir, masalah tersebut tetap berulang. Ia
menjadi cabaran kepada guru besar dan pihak pentadbir untuk melaksanakan
pentadbiran dengan melibatkan sekumpulan pekerja di bawahnya dengan cara yang
disenangi.
Daripada aspek keselamatan, ada
sesetengah sekolah yang mengalami masalah histeria dalam kalangan murid dan
sekolah akan berhadapan dengan masalah keselamatan yang kritikal. Ini
disebabkan oleh ada dalam kalangan murid yang diserang histeria yang berada
dalam keadaan separa sedar bertindak luar jangka. Lebih menakutkan, mereka yang
mengalami histeria cuba untuk mencederakan diri seperti memecahkan cermin
tingkap, mengamuk dan ada juga yang cuba untuk terjun dari bangunan tinggi.
Rentetan itu, golongan pentadbir perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap
keselematan muridnya selagi murid tersebut berada dalam kawasan sekolah.
Masalah seterusnya adalah melibatkan
faktor kewangan, kadangkala kemasukan wang yang sepatutnya diterima daripada
kerajaan lambat masuk ke akaun sekolah dan menyebabkan sekolah mempunyai sumber
kewangan yang terhad. Misalnya peruntukan bantuan kewangan perkapita bagi mata
pelajaran. Kelewatan ini amat menyukarkan pihak sekolah terutamanya apabila
sekolah menghantar wakil murid untuk menyertai pertandingan luar sekolah
seperti di peringkat zon, daerah atau negeri. Pihak sekolah terpaksa
menggunakan sumber wang yang terhad dan terpaksa menggunakan kewangan daripada
pihak PIBG. Lebih meruncingkan apabila, pihak PIBG juga tidak mempunyai sumber
kewangan yang mencukupi. Justeru, tanpa sumber kewangan yang baik dan
mencukupi, adalah amat sukar untuk melaksanakan dan terlibat dalam pelbagai
aktiviti seperti yang disarankan.
Masalah seterusnya adalah aspek
intrastruktur pula, di Malaysia ini, masih banyak sekolah yang berhadapan
dengan masalah kekurangan bilik darjah tertutamanya sekolah-sekolah yang telah
lama dibina. Dengan pertambahan bilangan murid dari setahun ke setahun,
menyebabkan bilangan murid di dalam sesebuah kelas semakin padat dan amat sukar
untuk menghasilkan suasana pembelajaran yang kondusif. Lantas, ada kelas yang
akan ditempatkan secara kekal di perpustakaan, makmal sains, makmal bahasa dan
bilik-bilik lain di sekolah. Ia secara tidak langsung telah menafikan fungsi
utama bilik-bilik khas tersebut. Masalah seperti ini lah yang menjadi cabaran
kepada para pentadbir sekolah untuk menyediakan satu kemudahan dan infrastuktur
yang sesuai dan mencukupi untuk pihak sekolah.
Masalah yang dihadapi oleh golongan
pentadbiran sekolah kadang kala turut melibatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG). PIBG adalah organ penting kepada sesebuah sekolah yang berperanan
sebagai rakan kongsi sekolah dalam menyelesaikan masalah, birokrasi dan pelbagai
isu yang timbul. Badan ini juga bertindak sebagai wadah, forum, dan khidmat
bakti untuk kemajuan serta pembanguan murid dan sekolah. Ini turut melibatkan
sistem pentadbiran dan pengurusan sekolah, akademik, disiplin, sistem
pemantauan dan penilaian. Namun masalah akan timbul apabila berlaku perbezaan
pendapat di antara PIBG dan pihak pentadbir sekolah. PIBG dan sekolah itu
sendiri mempunyai perancangan yang berbeza dan inginkan yang terbaik untuk
kemajuan sekolah. Menjadi masalah dan timbul kekangan kepada pihak pentadbir
sekolah untuk memenuhi semua permintaan PIBG apabila PIBG itu sendiri kurang
faham tentang keadaan sekolah yang dinaunginya. Ada sesetengah sekolah yang
PIBG tidak member kerjasama yang baik kepada sekolah sebaliknya membantah
keputusan guru besar dan kadangkala mendesak pihak sekolah untuk menjalankan
sesuatu program atau apa yang telah dirancang PIBG.
Kesimpulanya, penentu kepada kejayaan pentadbiran
sekolah bukan hanya berlandaskan teori sahaja, tetapi kesemuanya berasaskan
kepada kebijaksanaan guru besar itu sendiri dan peka dengan keadaan
sekelilingnya. Mencari punca masalah dan menyelesaikan berasaskan kepada
punca-punca yang dikenalpasti adalah penting. Sebagai sorang guru besar, sudah
semestinya mahu menjadi seorang pemimpin yang berkesan. Seorang guru besar yang
berkesan akan melahirkan guru, sekolah, dan murid yang berkesan. Guru besar
adalah teras kepada pengurusan pendidikan di sekolah. Jika guru besar suudah
tidak mempunyai kreadibiliti dan karisma yang tinggi, maka suasana sekolah akan
turut pincang. Sekolah adalah merupakan ‘duta wawasan’ yang merupakan sebuah
negara kecil yang perlu segala-galanya. Pemimpin dan pengikut hendaklah
sentiasa taat mentaati dan menghargai di antara satu sama lain. Dengan wujudnya
sifat kepipinan yang berkesan maka pengurusan dan petadbiran di sekolah akan
tercapai seperti yang diharapkan oleh setiap masyarakat dan kerajaan.
